Ibu bapa mana tidak sedih jika bayi yang membesar dengan sihat tiba-tiba ditemui tidak bernyawa . Kes kematian mengejut bayi adalah satu topik yang banyak dikaji oleh pakar perubatan seperti pakar kanak-kanak, pakar perubatan forensik dan ahli-ahli akademik serata dunia.
Salah satu punca kematian bayi ini diklasifikasikan sebagai kes tersedak susu, jangkitan paru-paru dan sebahagian pula masih dalam siasatan untuk mencari punca sebenar kematian.
Pensyarah Perubatan Klinikal, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd. Faizul Amer berkata, kematian mengejut bayi yang sihat sepatutnya tidak berlaku.

“Kes seperti ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut bayi (SUDI). Perkara ini amat penting kerana ia adalah salah satu indikator penting dalam penilaian tahap keberkesanan sistem kesihatan sesebuah negara atau populasi tertentu.
“Semua SUDI yang dilaporkan kepada pengamal perubatan akan melalui beberapa proses dokumentasi dan siasatan untuk mencari punca kematian bayi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau yang juga Aktivis I-Medik berkata, proses ini termasuk siasatan berkenaan kronologi kes kematian, sejarah kesihatan bayi, siasatan di tempat kematian serta proses autopsi.
Selepas semua proses ini dijalankan dan tiada punca kematian yang dikenalpasti, kes kematian ini akan diklasifikasikan sebagai sindrom kematian mengejut bayi SIDS.
SIDS adalah terma lazim yang digunakan oleh pengamal perubatan untuk menerangkan kes kematian bayi mengejut tanpa sebarang punca kematian.
Ini dikenalpasti selepas melalui semua proses termasuk siasatan berkenaan kronologi kes kematian, sejarah kesihatan bayi, siasatan di tempat kematian serta proses autopsy.
“Buat masa ini statistik kes kematian mengejut bayi SIDS di Malaysia masih belum diterbitkan. Bagaimanapun, statistik kes kematian mengejut bayi (SIDS) di negara barat, direkodkan pada kadar 1.3 sehingga 1.4 kes dalam 1000 kelahiran pada tahun sebelum 1992.
“Selepas pelbagai kempen kesedaran dan inisiatif lain dilakukan, terdapat penurunan dicatatkan pada setiap tahun sehingga pada 2001, penurunan lebih dari 50 peratus dengan kadar 0.55 kes dalam 1000 kelahiran dicatatkan,” katanya.
Dr. Mohd Faizul berkata, statistik ini menunjukkan, kadar kematian mengejut bayi boleh dikurangkan dengan beberapa cara dan strategi melalui kempen kesedaran berperingkat.
Menurut Semakan Kematian bawah lima tahun terbitan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2022, daripada semua kes kematian bayi yang dicatatkan, 13.6 peratus kes adalah disebabkan masalah asfiksia.
Asfiksia adalah keadaan di mana terdapat masalah pernafasan mengakibatkan bekalan oksigen yang sangat rendah kepada badan. Daripada jumlah ini, 61.9 peratus kes kematian asfiksia adalah berpunca daripada kes bayi tersedak susu.
Bagi bayi bawah umur enam bulan, 88.5 peratus kes kematian asfiksia berpunca daripada kes tersedak susu.
Katanya, data ini amat membimbangkan dan ia menunjukkan kes bayi tersedak susu adalah masalah serius yang perlu dicegah oleh semua pihak, tidak kira ibu bapa, penjaga serta kerajaan.
Kenali tanda, teknik selamatkan bayi
Antara tanda awal kes tersedak susu bagi bayi yang tiada masalah kesihatan kronik adalah tercekik, batuk, sesak nafas dan muka pucat biru.
Dr. Mohd Faizul berkata, semua ibu bapa serta penjaga perlu peka dengan tanda-tanda ini supaya langkah awal untuk menyelamatkan bayi dapat dibuat secepat mungkin.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga jika terlihat bayi menunjukkan tanda-tanda tersedak susu atau tercekik adalah memastikan bayi boleh bernafas dan menangis.
“Bayi perlu diletakkan pada posisi mendatar di atas lengan atau paha ibu bapa dengan muka menghala ke lantai. Kemudian, ib ubapa perlu menepuk bahagian belakang bayi di lokasi antara dua tulang belikat sebanyak lima kali,” katanya.
Katanya teknik ini dinamakan back blow. Kemudian, periksa di dalam mulut bayi jika ada bahan yang boleh dikeluarkan dari mulut. Sekiranya salur pernafasan masih tersumbat, pusingkan bayi menghadap ke atas di atas
lengan atau paha. Kemudian tekan dada bayi di lokasi antara dua puting bayi sebanyak lima kali. Teknik ini dinamakan chest thrusts.
“Jika masih gagal sila hubungi ambulans untuk rawatan lanjut. Sementara menunggu ambulans, ibu bapa perlu meneruskan teknik back blow dan chest thrusts hingga ambulans tiba,” katanya.
Bedah siasat
Pensyarah Perubatan Forensik, Fakulti Perubatan dan Kesihatan UPNM, Dr. Nadiawati Abdul Razak berkata, kematian akibat tersedak susu hanya boleh didiagnos melalui bedah-siasat.

“Melalui proses bedah siasat, organ dalaman jasad akan diperiksa secara teliti. Paru-paru bayi maut akibat tersedak boleh kelihatan normal atau kelihatan tidak sihat dengan mata kasar.
“Sedikit tisu daripada paru-paru akan diperiksa dengan mikroskop untuk melihat sebarang perubahan abnormal kepada sel paru-paru,” katanya.
Tambahnya, sekiranya radang berlaku akibat tersedak susu, perubahan sel boleh dilihat bersama-sama dengan kehadiran sel sel im un badan. Dapatan mikroskop ini akan menguatkan lagi hujah kematian berpunca dari radang akibat tersedak susu
“Autopsi atau bedah siasat adalah proses pemeriksaan ke atas jasad yang diarahkan oleh pihak polis di bawah Perundangan Malaysia: Inkues Kematian Bab 32 Kanun Tatacara Jenayah 593 di bawah seksyen 329.
“Kematian mengejut bayi juga disiasat di bawah kanun ini. Oleh itu, doktor perubatan forensik akan menjalankan autopsi untuk mengenalpasti punca kematian bayi,” katanya.
Menurut Semakan Kematian bawah 5 tahun oleh KKM terbitan 2022, majoriti kematian adalah berpunca daripada kecacatan kongenital dan jangkitan kuman.
Hanya 3.8 peratus punca kematian tidak dikenalpasti (SIDS) dan daripada jumlah itu, 80.9 peratus kematian dijalankan proses bedah-siasat.
Dr. Nadiawati berkata, di Malaysia, kematian akibat tersedak susu selalu dikaitkan dengan kematian mengejut bayi di luar hospital terutamanya di rumah.
“Susu yang tersedak akan masuk ke dalam paru-paru dan mengakibatkan paru-paru tersumbat. Keadaan ini, mengakibatkan kekurangan oksigen dan menyebabkan kematian,” katanya.
Langkah pencegahan
Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga untuk mengurangkan risiko SUDI.
Memastikan bayi tidur dengan posisi terlentang (muka menghadap ke atas) dan mengelakk tidur meniarap atau mengiring.
Bayi juga digalakkan untuk tidur di bilik yang sama dengan ibu bapa dan menggunakan katil atau basinet yang berasingan dengan ibu bapa.
Tilam atau permukaan tidur yang keras dengan pakaian yang tipis atau tidak terlalu tebal juga dapat mengurangkan risiko SUDI.
Elakkan penggunaan rokok, alkohol atau ubat terlarang oleh kedua ibu bapa serta ahli rumah.
Pada peringkat pengamal perubatan, kempen kesedaran tidur face-up juga patut dilakukan secara berkala bagi semua bayi setelah kelahiran sebelum keluar dari hospital.- UTUSAN










