Kerap kembung, sendawa petanda ada batu dalam hempedu - Utusan Malaysia

Kerap kembung, sendawa petanda ada batu dalam hempedu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU dalam hempedu adalah antara penyakit yang kerap ditemui dalam kalangan penduduk di negara ini.
Mengikut penyelidikan, batu hempedu lebih sering berlaku dalam kalangan wanita yang berusia pertengahan umur melebihi 40 tahun.
Bagaimanapun, Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Affirul Chairil Ariffin berkata, terdapat peningkatan kes dalam kalangan usia muda.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita nampak ada peningkatan kes dalam kalangan mereka yang berusia seawal 20 tahun hingga 60 tahun terutamanya wanita.
“Semakin ramai pesakit muda mengalami batu dalam hempedu. Kebanyakannya wanita muda yang masih dalam lingkungan umur reproduktif atau subur, “ katanya.
Tambah beliau, gaya hidup kurang sihat juga menyumbang kepada risiko berlaku batu dalam hempedu. Antaranya, pemakanan yang berlemak dan berkolesterol tinggi.
Tahap risiko semakin meningkat sekiranya seseorang itu menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan obesiti.

PEMBENTUKAN BATU
Pundi hempedu berbentuk seperti buah pir, berukuran 10.4 sentimeter (sm). Ia terletak di bawah hati pada bahagian kanan atas perut.
Hempedu berfungsi menyimpan sebatian yang dihasilkan oleh hati untuk mencerna lemak serta membantu badan menyerap vitamin dan nutrien larut dalam lemak.
Dr. Affirul Chairil berkata, hempedu penting di dalam proses penghadaman lemak dan kolesterol sebelum diserap di dalam tubuh badan selain membantu badan menyerap vitamin dan nutrien tertentu.
“Batu terhasil di dalam hempedu disebabkan proses penghabluran yang dipanggil sebagai ‘supersaturation theory’.
“Apabila terdapatnya kandungan kolesterol, bilirubin atau garam hempedu yang tinggi di dalam badan, proses penghabluran akan mengeraskan campuran cecair ini dan terbentuknya batu,” katanya.

GEJALA
Terdapat beberapa gejala atau petanda terdapat batu dalam hempedu. Biasanya ia akan menyebabkan kesakitan terutama di bahagian hempedu.
Dr. Affirul Chairil berkata, simptom bergantung kepada saiz, lokasi dan komplikasi yang berlaku.
“Antara simptom utama termasuk perut kembung, banyak sendawa atau mengeluarkan angin, sakit perut terutama bahagian atas kanan.
“Apabila komplikasi berlaku, pesakit boleh mengalami demam, ketakcernaan, najis berwarna kapur tanah liat, air kencing perang gelap dan kekuningan mata dan kulit (jaundis), “ katanya.
RAWATAN
Rawatan yang terbaik bagi mengatasi masalah batu hempedu adalah dengan membuangnya melalui pembedahan.
Bagaimanapun Dr. Affirul Chairil berkata, sebelum pembedahan dijalankan, beberapa faktor perlu diambil kira.
“Faktor yang perlu diambil kira adalah gangguan kepada kualiti kehidupan dan komplikasi yang boleh berlaku.
“Ini termasuk rasa kembung, sendawa dan membuang angin berlebihan, sakit di kanan perut, jangkitan kuman dan jaundis (penyakit kuning),” katanya.

BAHAYA ELAK PEMBEDAHAN
Segelintir pesakit enggan menjalani pembedahan bagi membuang batu dan hempedu kerana yakin ia batu akan hilang dengan sendiri.
Terdapat juga pesakit yang mengelakkan rawatan di hospital dan memilih untuk menjalani rawatan tradisional seperti pembedahan batin.
“Pesakit yang memilih untuk tidak membuang hempedu, berisiko untuk mendapat jangkitan kuman akibat sumbatan batu, jangkitan kuman saluran hempedu utama dan penyakit jaundis (kekuningan) ini.
“Risiko lain adalah mengalami penyakit hempedu kronik dan keradangan pankreas yang boleh menjurus kepada kanser hempedu. Bagaimanapun, kes kanser hempedu jarang berlaku, “ katanya.
Dr. Affirul Chairil berkata, prosedur pembedahan juga boleh meninggalkan risiko kepada pesakit. Antara risiko utama selepas pembedahan hempedu termasuk pendarahan dan jangkitan kuman, kecederaan terhadap organ berdekatan dan saluran utama hati.
“Pesakit hendaklah faham bahawa risiko-risiko ini mempunyai peratusan kecil sekiranya dilakukan lebih awal dan di pusat kesihatan atau hospital yang berpengalaman.
“Banyak faktor yang boleh menyebabkan jangkitan selepas pembedahan. Antaranya, termasuk penyakit sedia ada seperti kencing manis, masalah buah pinggang dan penyakit kulit,” katanya.
Tambah Dr. Affirul Chairil, kontaminasi iaitu pencemaran ketika pembedahan atau pundi hempedu yang kronik boleh menjurus kepada jangkitan.
Bagaimanapun, peratusannya berlaku risiko ini adalah rendah. Sebarang jangkitan yang berlaku selepas pembedahan boleh menjadi serius sekiranya batu hempedu tidak dikesan lebih awal atau sudah lama terjadi.
“Pembedahan hempedu membabitkan pembuangan keseluruhan hempedu termasuk batu di dalamnya sekali untuk mengelakkan dari batu berulang dan menjadi lebih teruk serta rumit.
“Pesakit tidak perlu risau untuk menjalani pembedahan ini kerana ia dilakukan secara laparoskopik (lubang kunci) yang tidak menyakitkan selain lebih cepat sembuh, “ terangnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya