Bertatu, implan perlu berhati-hati jalani MRI - Utusan Malaysia

Bertatu, implan perlu berhati-hati jalani MRI

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang pasti berdebar-debar bila perlu menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Tidak kurang juga tertekan apabila seluruh badan berada di dalam terowong sempit itu sehingga sukar bernafas.
MRI adalah ujian yang menggunakan kuasa magnet, gelombang radio dan komputer untuk menyimpan butiran gambar di tubuh anda. Ia digunakan untuk mengesan penyakit atau melihat tindak balas tubuh terhadap rawatan diberikan.
Pakar Penggunaan MRI, Nabila Mohamed Sinang berkata, walaupun MRI adalah selamat tetapi masih ada beberapa isu yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian ke atas pesakit ketika menjalani MRI.
“Antara punca berlaku perkara tidak diingini lazimnya disebabkan faktor mekanikal. Masalah mekanikal boleh berlaku seperti kes di Korea di mana pesakit meninggal dunia akibat silinder oksigen termasuk ke dalam MRI.
“Terdapat juga kes pesakit tersekat di dalam MRI gara-gara butang untuk menekan keluar pesakit tidak berfungsi,” katanya ketika menyampaikan ceramah ‘Keselamatan MRI’ sempena Hari Radiologi Sedunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), baru-baru ini.
Justeru amat penting, MRI dikendalikan kakitangan terlatih selain perlunya garis panduan keselamatan ketika menggunakan peralatan itu.
“Kawasan MRI perlu ada zon tertentu yang selamat Sebagai contoh, zon untuk orang awam yang bebas dari risiko magnetik dan zon untuk menukar baju,” katanya.

BESI PENARIK MAGNET
MRI menggunakan magnet sangat kuat yang boleh menarik semua besi dari tubuh. Sekiranya ini berlaku, anda boleh cedera.
Nabila berkata, antara objek yang boleh tertarik ke magnet seperti pen, kunci, gunting, cincin, jam tangan malah tag nama.
“Kad bank atau sebarang kad yang magnet juga boleh rosak dan tidak boleh digunakan selepas terdedah kepada MRI, “ katanya.
Justeru sebelum menjalani MRI, radiologi perlu meminta pesakit mengeluarkan semua bahan besi pada tubuh pesakit.
BAWA DOKUMEN IMPLAN
Individu yang mempunyai implan ortopedik perlu memaklumkan perkara itu kepada radiologi sebelum menjalani MRI. Secara amnya, implan ortopedik selamat kerana diperbuat daripada bahan bukan magnetik. Pesakit yang mempunyai implan dibenarkan masuk ke dalam MRI.
“Bagaimanapun, perlu pastikan implan itu lebih dari enam minggu termasuk dari tarikh pembedahan memasukkan implan itu.
“Kalau kurang dari enam minggu, implan itu mungkin tertanggal atau berubah kedudukannya serta boleh berlaku risiko lain yang kita tidak mahu ia berlaku, “ katanya.
Nabila berkata, radiologi perlu berkomunikasi dengan pesakit kerana terdapat risiko pesakit boleh merasa implan berkenaan menjadi panas.
Sekiranya ini berlaku, pesakit perlu segera tekan butang untuk dikeluarkan dari situ. Sebaiknya, bawa dokumen berkaitan implan yang ada pada tubuh.

PEMAKAI PERENTAK JANTUNG (PACEMAKER)
Pesakit yang memakai pacemaker juga perlu memastikan keperluan menjalani MRI. Mereka boleh menggunakan alternatif lain iaitu pengimejan modaliti.
“Mereka boleh meneruskan ujian MRI dengan syarat pacemaker itu diletakkan lebih enam minggu.
“Kehadiran pakar jantung atau kardiologi dan pengeluar mesin diperlukan ketika imbasan dijalankan. Mereka akan menyesuaikan mesin itu dengan pacemaker, “ katanya.

GELOMBANG RADIO FREKUENSI (RF)
RF adalah seperti antena yang menghantar dan menerima semula isyarat daripada pesakit.
Gegelung ini akan diletakkan sangat rapat kepada badan pesakit mengikut kawasan yang akan diimbas. Terdapat pelbagai jenis gegelung berdasarkan anatomi tubuh. Contohnya, gegelung kepala, badan, tulang belakang, dan payudara.
“Tisu badan boleh menjadi panas dan menyebabkan kebakaran sekiranya RF bersentuhan dengan kulit. Namun setakat ini belum pernah ada kes kebakaran akibat RF, “ katanya.
Katanya, pesakit yang bertatu kadangkala boleh rasa kepanasan. Ini disebabkan tatu juga mengandungi bahan besi aluminium, kalsium dan kadmium yang digunakan mendapatkan ton dan kecerahan berbeza atau cerahkan warna sedia ada.
“Ia boleh menjadi panas di kawasan tatu itu. Pesakit perlu memberitahu radiologi sekiranya mengalami rasa panas. Biasanya kain gauze yang basah akan diletakkan di kawasan tatu untuk menyejukkannya, “ katanya.
Selain itu, Nabila berkata, RF juga boleh meninggalkan kesan ke atas simulasi saraf periferal. Antaranya, pesakit akan rasa tertekan dan sakit. Kadangkala mengalami vertigo yang menyebabkan rasa berpusing. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya