Kudis buta merimaskan - Utusan Malaysia

Kudis buta merimaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kudis buta antara penyakit yang sinonim dengan kehidupan di asrama. Ia lazimnya berlaku dengan kegatalan teruk di beberapa bahagian tubuh, sehingga merimaskan kerana asyik tergaru-garu.
Menurut Ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Syamsa Rizal Abdullah, kudis buta ataupun dipanggil skabies merupakan infestasi kulit yang disebabkan oleh tungau daripada spesies Sarcoptes scabiei var hominis.

“Tungau ini akan membina terowong di lapisan atas kulit dan menggunakannya sebagai habitat dan medium untuk bertelur. Jangkitan ia bukan hanya terhad pada negara beriklim tropika seperti Malaysia, tetapi juga seluruh dunia tanpa mengira bangsa mahupun status sosial.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan sebanyak 200 juta kes jangkitan kudis buta berlaku dalam satu-satu masa di seluruh dunia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Kudis buta, katanya, kebiasaannya merebak apabila berlakunya sentuhan kulit secara langsung dalam tempoh masa tertentu dengan individu yang mempunyai jangkitan kudis buta.
“Oleh itu, pasangan seksual dan ahli keluarga mudah dijangkiti kudis buta. Bersalam dan berpelukan secara cepat kebiasaannya tidak akan menyebabkan penularan.
“Bagaimanapun, berkongsi alat-alat seperti pakaian, tuala dan tempat tidur berpotensi menularkan kudis buta secara tidak langsung terutama sekiranya berkongsi alatan dengan pesakit kudis buta peringkat teruk (crusted scabies),” katanya.

KESAN JANGKITAN
Katanya, bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti, simptom akan mula muncul selepas empat hingga lapan minggu selepas jangkitan. Walaupun tanpa sebarang simptom, pesakit berpotensi untuk menjangkiti individu lain dalam tempoh ini.
“Rasa kegatalan dan tanda ruam boleh muncul di seluruh bahagian badan terutama pada bahagian-bahagian tertentu yang berlipat seperti celah-celah jari, kawasan kemaluan, pinggang, punggung, pergelangan tangan, ketiak, siku dan lutut,” katanya.
Menjelaskan lagi beliau berkata, kudis buta juga boleh menyerang bayi. Hal ini, katanya lazim berlaku pada beberapa bahagian tubuh si bayi.
“Pada bayi pula, kawasan yang biasa dijangkiti adalah pada bahagian kepala, muka, leher, tapak tangan dan tapak kaki.
“Menggaru secara keterlaluan pada kawasan yang gatal ini akan mengakibatkan lesi pada kulit dan boleh mengundang jangkitan sekunder oleh bakteria,” katanya.

TANDA
Katanya, bagi individu yang diinfestasi tungau kudis buta, boleh kelihatan munculnya ‘terowong kecil’ yang timbul dan menyusur pada permukaan kulit.
“Kehadiran terowong ini adalah disebabkan oleh tungau betina yang mengorek di bawah lapisan kulit.
“Pengesanan kudis buta disahkan apabila tungau, telur tungau atau bahan kumuh tungau dijumpai pada kulit. Ini dijalankan menerusi kaedah kikisan kulit pada bahagian yang dijangkiti dan diikuti dengan pemeriksaan secara teliti menerusi mikroskop.
“Walau bagaimanapun, bagi pesakit kudis buta peringkat teruk, boleh berlaku lambakan tungau sehingga mencecah ribuan bilangannya pada seseorang individu dan boleh menjadi sumber jangkitan yang tinggi pada orang lain,” katanya.

RAWATAN
Kata Syamsa Rizal, kudis buta boleh dirawat dengan beberapa kaedah.
“Terdapat pilihan produk krim dan losyen di pasaran yang dipanggil skabisid yang berupaya membunuh tungau kudis buta. Namun begitu, pembelian produk ini memerlukan preskripsi doktor.
“Penggunaannya perlulah dengan mematuhi saranan oleh doktor atau ahli farmasi, atau dengan membaca arahan yang terkandung pada label produk tersebut. Secara umumnya, krim dan losyen disapukan ke seluruh bahagian badan daripada leher hingga jari-jari kaki dan dibiarkan kering pada badan untuk satu tempoh masa sebelum dibasuh,” katanya.
Jelasnya lagi, selain pesakit yang dijangkiti, rawatan juga sangat disarankan kepada ahli rumah, terutama kepada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit.
Kesemua individu ini, katanya, perlu dirawat pada waktu sama bagi mengelakkan jangkitan semula.
“Rawatan ulangan mungkin diperlukan sekiranya rasa kegatalan berlanjutan setelah dua hingga empat minggu, atau jika terowong atau ruam baru muncul pada bahagian kulit,” katanya.

Fakta tentang kudis buta

Tungau kudis buta betina mampu bertelur dua hingga tiga biji sehari
Saiz dewasa tungau kudis buta adalah sebesar titik noktah, kira-kira 0.35mm
Tempoh hidupnya selama satu hingga dua bulan
Jika tidak mendiami kulit manusia, tungau akan mati dalam tempoh dua ke tiga hari
Tungau kudis buta tidak boleh menjangkiti manusia menerusi haiwan peliharaan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya