Awas, ada ‘makhluk halus’ pada wajahmu! - Utusan Malaysia

Awas, ada ‘makhluk halus’ pada wajahmu!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada satu malam yang dingin, sedang enak dilamun mimpi indah, tiba-tiba kulit pipi terasa gatal. Keras jari-jemari menggaru, sampai merah-merah pipi dibuatnya.
Disangka ia angkara sang nyamuk penghisap darah. Namun rupanya, ada makhluk yang jauh lebih halus sedang merayap pada kulit wajah. Sudahlah parasit itu menumpang kulit manusia sebagai ‘rumah’, ia makan sel-sel pada folikel manusia.
Tak cukup dengan itu, makhluk itu sebenarnya sentiasa merayap pada wajah manusia. Saiznya yang cukup halus, menurut majalah Discover Magazine dalam rencana ‘Everything You Never Wanted to Know About the Mites That Eat, Crawl and Have Sex on Your Face’, memerlukan ia bergerak hampir setengah hari untuk merayap dari hidung ke telinga manusia!
Makhluk apakah yang dimaksudkan melalui rencana tersebut?
Dan sejauh mana parasit ini menganggu manusia?

TUNGAU FOLIKEL
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Aishah Hani Azil, tungau folikel adalah sejenis artropod kecil bersaiz 0.15 hingga 0.4 mm yang mendiami kulit manusia.
“Saiznya yang kecil menyebabkan ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Tungau bukanlah serangga kerana peringkat dewasanya mempunyai lapan kaki. Badannya memanjang dan terdiri daripada dua segmen yang bercantum di mana kaki terletak di bahagian hadapan.
“Kitaran hidupnya, iaitu daripada peringkat telur, larva, nimfa dan seterusnya dewasa, mengambil masa selama 13 hingga 15 hari. Manusia dan haiwan boleh dijangkiti dengan tungau folikel. Namun, spesies tungau bagi haiwan adalah berbeza dan tidak boleh menginfestasi manusia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau berkata, terdapat dua spesies tungau folikel yang boleh menjangkiti manusia iaitu Demodex folliculorum dan Demodex brevis.
“Saiz Demodex folliculorum adalah lebih besar dan panjang. Demodex folliculorum mendiami folikel rambut manakala Demodex brevis mendiami kelenjar sebum,” jelasnya.

PREVALENS
Katanya, kadar prevalens yang pernah dilaporkan di Malaysia adalah sekitar 17.2 hingga 18.9 peratus dalam golongan muda berusia 20-an.
“Dikatakan bahawa kekerapan jangkitannya meningkat dengan umur. Lebih ramai golongan dewasa yang mempunyai jangkitan tungau ini berbanding kanak-kanak. Terutamanya, peringkat umur 20 hingga 30 tahun apabila penghasilan sebum di kulit adalah tinggi.
“Tungau folikel memakan sel-sel kulit dan sebum. Bahagian badan manusia yang sering terlibat ialah kulit muka, bulu mata dan kelopak mata. Namun, bahagian badan lain seperti leher dan dada boleh juga diinfestasi. Tanda dan gejala pada kulit boleh merangkumi kulit kemerahan, kering, gatal dan berbintat.
“Sementara, tanda dan gejala pada mata seperti kegatalan, kelopak mata bengkak, mata kering atau berair, berkerak dan bulu mata gugur. Tungau folikel boleh dikesan dengan melakukan ujian kikisan kulit atau pensampelan bulu mata,” katanya.

BAGAIMANA IA MENJANGKITI
Beliau berkata, tungau folikel mudah menjangkiti dalam kalangan manusia yang hidup bersama dan mempunyai kontak rapat.
“Pun begitu, bercakap soal rawatan, ia tidak diperlukan bagi individu yang tidak mengalami sebarang tanda dan gejala kerana kehadirannya tidak berbahaya kepada individu tersebut.
“Jenis rawatan bergantung kepada keterukan tanda dan gejala serta bahagian badan yang terlibat. Bagi jangkitan yang ringan, penjagaan kebersihan bahagian yang terlibat adalah sangat penting.
“Muka dan bulu mata perlu kerap dibersihkan menggunakan air dan pencuci muka. Penggunaan agen pengelupasan, misalnya skrub muka, dikatakan dalam membantu mengawal tungau folikel. Penggunaan pelembap juga dikaitkan dengan kadar infestasi yang lebih rendah dalam kalangan dewasa muda,” katanya.
Katanya lagi, bagi jangkitan yang teruk, individu digalakkan mendapatkan diagnosis dan khidmat nasihat daripada doktor perubatan.

PENCEGAHAN
Katanya, adalah agak sukar untuk mencegah penularan ektoparasit ini.
“Secara umumnya, tungau folikel tidak mengakibatkan penyakit kecuali apabila bilangan tungau meningkat dengan banyak. Jadi, disarankan agar individu bergejala mendapatkan rawatan yang bersesuaian untuk mengelakkan komplikasi,” katanya.

FAKTA MENARIK

Menurut laman kesihatan WebMD melalui rencana berjudul ‘What are Demodex Mites?’, jika bilangan kutu demodex terkawal, ia sebenarnya bagus kepada manusia kerana makhluk itu memakan sel-sel kulit mati. Pun begitu, jika ia terlalu banyak boleh mencetuskan masalah kegatalan dan inflamasi.

Menurut laman News-medical.net dalam rencana ‘New Approaches for Fighting Demodex Mites’, antara kaedah merawat serangan kutu demodex termasuk:
Minyak pohon teh (tea tree oil)
Antibiotik dan steroid Asid hipoklorus (HOCl)
Jaga kebersihan persekitaran terutama rumah

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.