Apa itu pemakanan seimbang? - Utusan Malaysia

Apa itu pemakanan seimbang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kebelakangan ini, antara tema kesihatan yang sering muncul sama ada di dada akhbar mahupun dalam laman web kesihatan adalah mengenai pemakanan seimbang. Ramai pakar nutrisi, malah doktor menekankan keseimbangan dalam pemakanan.
Soalnya, apa dimak­sudkan sebagai pema­kanan seimbang? Pen­ting­kah makan secara se­imbang dan apa kesan kalau tidak ikut tertib sepatutnya?
Mendepani persoalan ini, Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi dari Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr. Rushdan Abdul Aziz.

LATAR BELAKANG
Menurutnya, pema­kanan seimbang adalah tabiat memilih makanan yang merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan dalam jumlah bersesuaian untuk keperluan pelbagai fungsi penting tubuh.
“Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul. Faktor umur, jantına dan aktiviti harian adalah penting dalam menentukan kuantiti makanan harian atau tenaga yang diperlukan oleh setiap individu.
“Individu yang aktif dan banyak melakukan aktiviti akan memerlukan lebih banyak tenaga berbanding individu kurang aktif. Remaja yang sedang membesar akan memerlukan jumlah tenaga yang lebih tinggi berbanding warga emas,” katanya baru-baru ini.

PIRAMID MAKANAN
Beliau berkata, komposisi makanan yang disarankan bagi pemakanan seimbang adalah berpandukan Piramid Makan Malaysia.
“Dalam piramid itu, disarankan pengambilan makanan berasaskan nasi, mi, bijirin, produk bijiran serta ubi-ubian sebanyak empat hingga lapan sajian sehari. Ia harus diambil secukupnya.
“Selain itu, tahap kedua piramid menuntut individu mengambil buah-buahan dan sayuran sekerap dua hingga tiga sajian sehari, yang diambil dalam kuantiti banyak,” katanya.
Tahap ketiga pula, katanya, adalah produk protein seperti ikan, ayam, daging dan legum. Ini harus diambil secara sederhana. Selain itu, sumber protein juga boleh didapati daripada produk tenusu.
Tingkat teratas piramid makanan, katanya, meru­juk kepada makanan yang harus dikawal pengambilan seadanya. Ini termasuk lemak, minyak, gula dan garam yang mana digalakkan diambil sedikit sahaja setiap hari.

SUKU, SUKU DAN SEPARUH
Bagi me­mu­dahkan orang ra­mai mengamalkan pema­kanan seimbang, katanya, Ke­menterian Kesihatan menyarankan konsep ‘suku-suku separuh’ untuk memastikan pilihan makanan yang diletakkan di atas pinggan makan, semasa waktu makan utama iaitu makan tengah hari dan makan malam, dalam kuantiti sewajarnya.
“Apa yang diperlukan hanyalah pinggan berukuran kira-kira 10 inci yang dibahagikan kepada tiga bahagian. Konsep ‘suku-suku separuh’ ini bermaksud suku pertama pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan bijirin yang mana kumpulan makanan ini adalah sumber tenaga utama kepada tubuh kita.
“Suku kedua pula diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang yang diperlukan untuk tumbesaran, perkembangan dan memperbaiki tubuh.
“Separuh pinggan lagi diisi dengan bu­ah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya de­ngan sumber serat, vitamin dan mineral pen­ting untuk membantu pelbagai fung­si penting tubuh,” jelasnya.

Bawang putih makanan terbaik!
Laman kesihatan Medical News Today menjelaskan bahawa bawang putih antara makanan sihat yang baik untuk tubuh. Memetik beberapa jurnal peer review yang autoritatif, mereka melaporkan antara khasiat bawang putih termasuk:
Kurangkan risiko kanser paru-paru
Kurangkan risiko kanser otak
 Kurangkan risiko osteoarthritis pinggang
 Ia bersifat antibiotik
 Melindungi jantung
 Rendahkan paras kolestrol

INFO

Sekolah Perubatan Harvard ada menyiarkan rencana Healthy Eating Plate memberi tips bagaimana mahu isi pinggan makan kita dengan makanan seimbang. Berikut tips mereka:

1 Sentiasa lebihkan sumber sayuran dan buah-buahan dalam diet harian, sekurang-kurangnya setengah pinggan diisi dengannya. Pelbagaikan warna sayuran dan buahan untuk dapatkan khasiat yang seimbang.
2 Isi suku pinggan dengan bijiran penuh (whole grains). Ini seperti beras perang, gandum bijirin penuh, barli, quinoa dan oat. Ingat, suku pinggan sahaja ya!
3 Suku pinggan lagi diisi dengan protein seperti ayam, ikan atau daging.

Berikut beberapa makanan popular sebagai ‘makanan super’, merujuk rencana terbitan portal kesihatan ‘Healthline’ berjudul 16 Superfoods That Are Worthy of the Title.

 Sayuran berdaun gelap seperti kale dan bayam
 Buahan beri seperti strawberi, blackberry dan beri biru
 Teh hijau
 Telur sebagai sumber protein
 Kekacang yang kaya khasiat seperti badam, pistachio dan walnut
 Yogurt
 Bawang putih

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.