fbpx

Jangan musnahkan naluri kanak-kanak 

Kanak-kanak boleh mengalami tekanan emosi apabila tiada aktiviti. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berkurung dalam rumah dan menghadap gajet selama tempoh pandemik ini boleh menjurus kepada isu ketagihan dalam kalangan kanak-kanak. 

Ibu bapa yang tidak ada masa, cenderung menyuapkan anak mereka dengan peranti elektronik.

Seri bertanya kepada Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof.  Adjung PICOMS Kolej University dan Penasihat Akademik Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Dr Bustam Kamri.

SERI: Bagaimana menangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak?

DR. BUSTAM: Ibu bapa perlu memberi pilihan pada anak-anak, iaitu boleh bermain gajet pada waktu tertentu, tetapi wajib melakukan benda lain juga. Ibu bapa perlu tarik perlahan-lahan tabiat itu. Janjikan gajet pada anak-anak tetapi bersyarat. 

Contohnya, perlu membaca buku, melukis atau sebagainya kemudian tunaikan janji untuk main gajet dalam tempoh tertentu. Paling penting ibu bapa jangan mungkir janji. Sama seperti orang dewasa bila janji tidak ditepati akan berasa sedih dan marah, begitu juga untuk kanak-kanak. 

Secara ringkas, kanak-kanak tersebut wajib mengikuti kehendak ibu bapa kemudian perlu beri apa yang dia mahukan kerana kanak-kanak juga ada perasaan.

DR. BUSTAM KAMRI

 

SERI: Sejauh mana gajet memberi impak psikologi kanak-kanak?

Segelintir kita, walaupun berada dalam rumah tetapi ada ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak termasuk kurang bermain dan berkomunikasi. Ia mungkin berpunca daripada kesibukan tugasan yang lain. 

Situasi ini bagaimanapun boleh mengganggu emosi dan mental mereka, lebih-lebih sekiranya tidak ada kawan sepanjang perintah kawalan. Waktu inilah mereka akan mula beralih kepada gajet kerana tidak ada kawan untuk bercakap.

SERI: Adakah belajar menggunakan gajet sebagai punca ketagihan?

Konsep belajar perlu dua hala. Kalau satu hala seperti dengan gajet, ia memang kurang efektif, sebab mereka belum matang. Kalau dia hanya melihat, nak pegang tidak boleh, ini boleh menyebabkan mereka tertekan. 

Sebab itulah pada peringkat tadika dan rendah, perlu ada guru untuk mengajar secara bersemuka agar pembelajaran dapat berlangsung dengan sempurna. 

Bila kebosanan kanak-kanak mungkin beralih kepada YouTube, atau bahan lain di maya yang lebih menarik perhatian kanak-kanaknya.

SERI: Apakah tanda kanak-kanak berdepan dengan tekanan?

Kanak-kanak sukar meluahkan perasaan. Namun antara yang mungkin ditunjukkan ialah mereka mungkin tidak lagi aktif seperti sebelum ini. 

Ada juga yang jenis suka berdiam diri dan tidak banyak bercakap. Kalau ibu bapa melihat perubahan ini, segeralah cari penyelesaian.

SERI: Bagaimana mengelakkan anak berdepan tekanan emosi dan mental?

Kanak-kanak tertekan bila tiada pengisian aktiviti. Kanak-kanak 0 – 8 tahun suka mengetahui banyak perkara. Sekiranya ibu bapa gagal melayani mereka, secara tidak sedar, naluri semula jadi kanak-kanak akan musnah.

5 perkembangan kanak-kanak yang perlu dipenuhi:

A)  Fizikal – kanak-kanak perlu aktif dalam rumah, berlari dan bermain, apabila ibu bapa selalu melarang, ia akan menyebabkan kanak-kanak stres. Biarkan mereka bermain tetapi letak peraturan agar mereka tahu dan tidak berlebihan.

B)  Bahasa – Minda kanak-kanak berkembang bila adanya komunikasi berkesan. Seringlah bercakap dengan anak.

C)  Kognitif – ajar anak berfikir dengan selalu bertanya soalan. Contohnya dengan membuat eksperimen ketika bermain buih sabun, ajar anak cara berfikir antara sabun basuh pinggan dan sabun buku, mana menghasilkan banyak buih. 

D) Estetika – sediakan kertas kosong dan beri peluang untuk anak-anak mengekspresi kreativiti seni mereka.

E) Sosialisasi – pastikan anak boleh bersosial dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI