PERKHIDMATAN kesihatan yang baik memberi pengalaman dan tahap kepuasan bermakna kepada pesakit.
Dunia digital dengan kelahiran teknologi penjagaan kesihatan lebih canggih, berjaya mentakrif cara perkhidmatan kesihatan disampaikan kepada pesakit, iaitu dengan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Selaras dengan transformasi digital, sebagai perintis di dalam bidang teleperubatan di negara ini, baru-baru ini, Pusat Perubatan Sunway telah memperkenalkan Pusat Kawalan bagi Perkhidmatan Teleperubatan.
Ia adalah perkhidmatan penyediaan khidmat nasihat klinikal jarak jauh berlangsung melalui komunikasi dua hala pada masa nyata atau real time antara pesakit dan pegawai kesihatan terlatih.
Fasa pertama Pusat Kawalan Teleperubatan memberi khidmat nasihat penjagaan kesihatan tahap pertama kepada pesakit.
Pusat ini beroperasi 24 jam setiap hari dan pesakit boleh menelefon, menghantar e-mel atau berhubungan melalui platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
NASIHAT
Setelah pertanyaan diterima, jururawat atau pegawai perubatan akan memberi nasihat atau cadangan untuk berunding dengan pakar di Pusat Perubatan Sunway.
Sekiranya pesakit bersetuju, pasukan tersebut juga boleh membantu membuat temu janji dengan pakar kesihatan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin Boon Diann berkata, keperluan pesakit dan pelanggan tempatan serta serantau mendorong pihaknya mendirikan Pusat Kawalan Teleperubatan.
Katanya, pusat kawalan itu dibangunkan pada masa yang tepat ketika situasi wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan buat masa ini.
“Dengan adanya perkhidmatan ini, kami akan dapat menyediakan perkhidmatan perubatan dengan lebih cepat dan cekap kepada pesakit yang memerlukannya. Semua pertanyaan perubatan atau klinikal akan dikendalikan oleh jururawat atau pegawai perubatan yang berpengalaman tinggi,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Sunway, Dr. Seow Vei Ken berkata, konsep Teleperubatan dan pemantauan jarak jauh pesakit telah dibincangkan dalam sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan selama beberapa dekad lalu.
Katanya, kini terbukti bahawa kemudahan Teleperubatan dalam perancangan pengurusan penyakit dapat meningkatkan hasil klinikal dan mengurangkan penggunaan perkhidmatan kesihatan selain kos pengurusan penyakit kronik.
“Tahap kepuasan pesakit juga positif dengan ramai yang berasa selesa menggunakan teknologi ini dan lebih arif dengan status kesihatan mereka,” katanya.
Pada April 2020, UK Royal College of general practitioners melaporkan bahawa doktor merawat hanya tujuh peratus pesakit mereka secara bersemuka, berbanding 80 peratus pada 2019, membuktikan bahawa permintaan untuk Teleperubatan telah berkembang dengan mendadak.

Negara jiran seperti Indonesia dan Thailand juga sudah mula menggunakan Teleperubatan untuk menjangkau keadaan pesakit.
Dengan penjarakan sosial yang kini menjadi norma baru, pihaknya menjangka kaedah itu akan diterima baik oleh pelanggannya.










