Promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 kembali - Utusan Malaysia

Promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 kembali

Warna-warni Hari Raya Aidilfitri 2021 berlangsung selama 18 hari sehingga 2 Mei depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYAWAL dinanti kian terasa. Waktu ini sudah pasti ramai berkira-kira membuat belian sebagai persiapan Aidilfitri.

Tahun lalu beraya di rumah, apa kata tahun ini cipta kelainan dengan membeli produk kraf tempatan pada Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021.

Ibrahim Ismail berbaju hijau muda) pada lawatan bersama media di Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam. Ia disertai 200 usahawan kraf seluruh negara.

Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail berkata, menerusi tema ‘Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti’ Kraftangan Malaysia (Kraftangan), menampilkan konsep menjadikan produk kraf bukan sekadar cenderamata, sebaliknya turut menerapkan kraf sebagai gaya hidup yang boleh diguna pakai dalam musim perayaan.

“Kita mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan produk kraf ini pada musim perayaan. Lagipun secara tradisinya, pemakaian masyarakat Melayu ialah baju Melayu, sampin, songket dan capal memang merupakan produk kraf.

“Ia secara tidak langsung membuka jalan kepada usahawan kraf pelbagai bidang, menerokai pasaran baharu ini,” katanya dalam lawatan bersama media pada promosi berkenaan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur semalam.

Kraf manik ini cantik sebagai alas minuman.

Program berkenaan berlangsung selama 18 hari sehingga 2 Mei ini.

Gimik pelancaran akan diadakan pada 19 April dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memasak bubur pedas Sarawak.

Promosi berkenaan diadakan sejak 2003 namun tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Aneka aksesori permata dan mutiara.

Ibrahim berkata, Kraftangan menyasarkan jualan fizikal meningkat RM1.8 juta hingga RM2 juta tahun ini, termasuk di tujuh pusat beli-belah setiap negeri berbanding RM1.7 juta tahun lalu.

“Promosi ini merupakan inisiatif dan peluang pertama yang dapat diadakan secara fizikal bagi membantu usahawan ketika pandemik Covid-19. Seramai 200 usahawan kraf di seluruh negara terlibat dalam acara ini.

“Waktu ini adalah paling tepat untuk melaksanakan program selepas kerajaan membenarkan aktiviti secara fizikal dijalankan namun mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ia sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak bagi meningkatkan pendapatan terutama kepada golongan usahawan B40,” katanya.

Tujuh pusat beli-belah yang terlibat dalam promosi antaranya East Coast Mall, Pahang; Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall, Terengganu, dan Freeport A’Famosa Outlet, Melaka.

Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya demonstrasi anyaman, pertunjukan fesyen dan sebagainya. Selain promosi atau program fizikal, Kraftangan turut mempunyai platform digital untuk usahawan melalui E-Kraf Bazar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya