Laluan berliku Rosniwati sebelum berjaya - Utusan Malaysia

Laluan berliku Rosniwati sebelum berjaya

ROSNIWATI Beharom bersama produk keluarannya, 'Saapuu'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAULAH dia tidak pernah terfikir untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan 23 tahun lalu, barangkali wanita bernama Rosniwati Beharom ini tidak akan tahu bagaimana rasanya mengecapi kemanisan sebuah kejayaan.

Kediaman ibu mentuanya di Klang, Selangor menjadi saksi segala jerih perih dan hempas pulas wanita berusia 45 tahun ini untuk membantu menyara keluarga dengan bertemankan sebuah mesin jahit sebagai sumber mata pencarian.

Apalah sangat wang hasil daripada seorang yang bergelar tukang jahit ketika itu. Sementelah ia cukup sekadar untuk menampung keperluan barang dapur sebuah keluarga yang menjalani kehidupan biasa-biasa seadanya.

“Saya sempat bekerja di sebuah kilang di Shah Alam sebagai pembantu akaun selama lima tahun, tetapi jiwa terhadap dunia jarum dan benang seakan tidak boleh dilupakan. Maka, secara sambilan, saya ambil upah menjahit baju di rumah.

“Masih ingat lagi, habis meja makan ibu mentua terkena kesan gores roda surih di sana sini kerana kerja-kerja jahitan itu. Beruntungnya, ibu mentua tidak pernah merungut atau marah, malah menyokong usaha saya mencari rezeki,” katanya.

Mula menjahit sejak zaman anak dara, rutin sebagai tukang jahit itu berterusan sehinggalah mendirikan rumah tangga dan menetap bersama ibu mentua kurang lebih 16 tahun lamanya.
Rosniwati memberanikan diri menyewa sebuah kedai dengan hasil pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan di situlah dia mula belajar selok-belok dunia perniagaan penuh cabaran.

Membuat keputusan berhenti sebagai pembantu akaun, Rosniwati memberanikan diri menyewa lot kedai hasil pinjaman daripada Mara.

BERKONGSI

“Kedai itu saya buka dengan seorang rakan kongsi yang ketika itu membuka butik andaman pengantin. Jadi kami sama-sama menjalankan khidmat itu di bawah satu bumbung, sewa kedai pun di bahagi dua.

“Tetapi disebabkan masalah keluarga, rakan kongsi saya terpaksa menutup perniagaannya. Mahu atau tidak, saya perlu ambil alih dan teruskan operasi perniagaan. Semuanya okey cuma apabila masuk tahun keempat, terlalu banyak saingan dalam bidang andaman dan jahitan, perniagaan yang dikendalikan mula merosot,” katanya.

Tidak menolak ilmu perniagaannya masih cetek, dia tidak mampu meneruskan perniagaan andaman dan pengantin kecuali meletakkan fokus pada dunia jahitan sementelah suaminya, Roshazly Rusali, 47, seorang juru ukur bahan, sudi membantunya dari aspek kewangan jika perniagaannya mengalami masalah.

UJIAN SUAMI DAN KELUARGA

Selama 12 tahun hidup bersama suami, Rosniwati ‘menikmati’ ujian ketiadaan zuriat dengan penuh kesabaran sebelum kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rose Iman Amani.

Namun, sabarnya sekali lagi diuji apabila pada penghujung tahun 2014, suaminya disahkan mengalami masalah psoriasis dan gout dengan diserang angin ahmar peringkat awal.

“Kali pertama kejadian itu berlaku, kedua-dua matanya langsung tidak dapat melihat selain terpaksa dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad selama seminggu. Selama tempoh itu jugalah saya menutup kedai kerana tidak ada pekerja.

“Apabila tidak buka kedai, ia bermakna saya tidak mempunyai pendapatan manakala suami pula terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan yang dihidapi. Sekelip mata, segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga tergalas di bahu,” katanya.

Rose Iman Amani menguatkan lagi Rosniwati dan suami, Roshazly Rusali berusaha memajukan perniagaan mereka.

Mengenang kembali, kata Rosniwati, kebanyakan masanya selepas itu banyak dihabiskan di kedai dengan anak yang masih kecil, terpaksa dibawa bersama agar perhatian dapat diberikan kepadanya pada masa yang sama.

“Kedai saya hanya ada satu bilik kecil yang digunakan untuk pelanggan mencuba baju. Jadi suami dan anak saya terbaring sahaja di ruangan kedai. Memang tak selesa tapi kami tiada pilihan.

“Dugaan datang lagi apabila suami disahkan ada penyakit saraf (Rheumato Attritis) selain gout yang semakin aktif. Maka, setiap bulan dia perlu ambil suntikan khas untuk saraf yang mana setiap satunya mencecah lebih RM2,000 dan keseluruhannya, RM23,000.

“Semua itu pula perlu dibuat secara sekali bayaran dan bukannya setiap bulan. Turun naik saya ke pusat zakat untuk meminta bantuan dan Alhamdulillah segala usaha itu berhasil sehinggakan saya berjanji, akan membayar zakat walaupun tidak ada duit!” katanya.

Penat lelah Rosniwati tidak terhenti di situ. Dia juga berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan status Orang Kurang Upaya (OKU) buat suaminya selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk urusan pencen.

UBAH STRATEGI PERNIAGAAN

Menyedari sesuatu harus dilakukan demi mengubah nasib, Rosniwati dan suaminya bersepakat untuk mengubah strategi perniagaan lantaran melihat semakin ramai mula meneroka dunia perniagaan secara dalam talian.

Menggunakan sedikit simpanan yang ada, wanita ini mencuba menjual satu jenama produk dengan cara tetapi merasakan alangkah baik jika dia mengeluarkan produk dengan jenamanya sendiri.

Tidak berfikir panjang, Rosniwati segera mendaftar syarikat atas nama Mawar Shazni Enterprise pada Ogos 2003 sebelum berupaya menaiktaraf syarikat tersebut kepada Sdn. Bhd. selepas menghasilkan produk jenama Saapuu.

“Saya keluarkan produk itu juga kerana faktor kesihatan suami. Semasa dia mengalami psoriasis kulitnya mengalami kegatalan dan tidak keselesaan terutamanya bila terkena cahaya matahari atau terdedah dengan cuaca panas.

“Psoriasis aktif keluar di bahagian kepala dan badannya. Setiap kali dia menggaru, pasti akan keluar sisa dan kuping putih seperti kelemumur memenuhi baju yang dipakai.

“Macam-macam krim dan ubat digunakan tapi seakan tidak berkesan sehinggakan dia terpaksa menjalani rawatan ultra UV di hospital. Ultra UV biasanya adalah untuk pesakit psoriasis yang kritikal,” katanya.

Menghasilkan produk krim tersebut sebagai satu jalan ikhtiar buat suaminya, Rosniwati bersyukur bukan kepalang kerana ‘Saapuu’ berupaya membantu mengurangkan penyakit kegatalan kulit yang dialami Roshazli.

“Ketika pertama kali menghasilkannya juga tidak mudah. Macam-macam cara saya buat bagi memastikan ia serasi dan boleh tahan lama apabila disimpan.

“Tetapi semua itu ternyata berbaloi kerana ramai kalangan pelanggan dan pengguna memberikan respons yang positif selepas memakainya,” katanya.

MEMBANTU INSAN MEMERLUKAN

Dalam pada itu, sebagai satu usaha untuk memberi semula kepada masyarakat, Rosniwati menjadikan segala kenangan kepayahan dan kesusahannya membina hidup sebelum ini dengan kerap menjalankan khidmat berbentuk kemasyarakatan.

“Saya cuba menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh baik dari segi kewangan, makanan atau tempat tinggal buat mereka yang memerlukan.

“Saya pernah rasa bagaimana peritnya hidup tak ada duit untuk membeli susu, lampin pakai buang anak, barang-barang dapur apatah lagi pakaian dan barang keperluan lain. Cukup-cukuplah kita sebagai ibu bapa guna duit raya anak untuk perbelanjaan keluarga.

“Saya percaya, kita semua boleh ubah nasib jika kena pada cara dan jalannya. Insya-Allah, Dia tahu niat dan akan menunjukkan jalan terbaik buat setiap hamba-Nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×