Memiliki rambut sihat, impian setiap individu tidak terkecuali wanita berhijab. Walaupun bertudung hampir seharian, mahkota ini turut memerlukan perhatian dan penjagaan sempurna.
Rambut dan kulit kepala tidak sihat mengundang masalah. Tiga daripada empat rakyat Malaysia menderita masalah kulit kepala dengan kebanyakan terdiri daripada wanita bertudung.
Ketua Pegawai Eksekutif Dermalene Sdn. Bhd., Dr. Alina Hasni berkata, iklim Malaysia yang lembab tidak baik untuk kulit kepala tertutup kerana ia menyebabkan perpeluhan seterusnya menyebabkan kulit kepala jadi lembap.
Situasi itu menyebabkan kulit kepala mudah gatal dan tidak selesa kerana tiada ruang untuk bernafas.
“Lebih memburukkan keadaan tidak mengeringkan rambut dengan baik atau memakai tudung dalam keadaan rambut masih basah,” katanya.

Dr. Alina berkata, ramai wanita bertudung turut kecewa dengan jenama-jenama syampu kosmetik. Malah ramai juga memilih amalan serta rawatan tradisional untuk penjagaan rambut dan kulit kepala.
“Kita tidak dapat mengubah iklim, tetapi kita dapat menguruskan rutin rambut dan kulit kepala,” katanya.
Antara saranan Dr. Alina ialah memilih syampu sesuai dalam menangani masalah kulit kepala.
“Memilih syampu yang betul amat penting kerana ia adalah barisan pertahanan pertama paling kritikal untuk menangani kelemumur, kulit gatal, dan kulit kepala kering,” katanya.
Dr. Alina berkata wanita perlu memilih produk dengan ramuan mengatasi masalah kulit kepala.

CARA ATASI MASALAH KULIT KEPALA
Masalah rambut dan kulit kepala dihadapi kaum wanita berhijab bukan satu perkara asing bagi penata gaya hijab selebriti, Eka Jamaludin..
Katanya, masalah kulit kepala dalam kalangan wanita berhijab adalah sangat biasa, bahkan selebriti turut tidak terkecuali.
“Wanita berhijab kurang mengutamakan penjagaan kulit kepala berbanding dengan penjagaan kulit, kerana kulit kepala dan sebarang masalah berkaitan akan disembunyikan di bawah hijab.
“Walaupun kulit kepala mereka mungkin tidak terserlah kepada umum, masalah kulit kepala boleh menjejaskan keyakinan mereka, menimbulkan ketidakselesaan dan kegelisahan serta menyebabkan mereka tidak mahu berdepan dengan khalayak ramai,” jelasnya.
Keringkan rambut terlebih dahulu sebelum memakai tudung dan memakai tidak terlalu ketat antara tips Eka menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala.










