fbpx

Syukur adik hanya cedera ringan dicakar harimau akar – Siti Hapesah

TAHIR Al Tipah (kiri) memegang Faridah Ishak yang dicakar harimau akar di bahagian kening di Kampung Sentang di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD

LIPIS: Seorang kakak bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila adiknya, Faridah Ishak, 58, yang terlantar akibat strok hanya cedera ringan dicakar harimau akar yang menceroboh masuk ke rumahnya di Kampung Sentang di sini, kelmarin.

Kakak mangsa, Siti Hapesah, 73, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kampung tersebut dan menggemparkan penduduk.

“Saya bersyukur kerana Faridah hanya cedera ringan dan dirawat oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Padang Tengku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelmarin, sepasang suami isteri berusia 55 dan 58 tahun berdepan detik cemas apabila seekor harimau akar menceroboh masuk ke rumah mereka di Kampung Sentang.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang semalam, haiwan liar itu menceroboh ke dalam rumah pasangan terbabit dan melompat ke atas katil lalu mencakar kening Faridah yang mengalami penyakit strok dan cuma luka kecil di bahagian kening.

Siti Hapesah berkata, sebelum kejadian, suami adiknya, Tahir Al Tipah, 55, sedang berbaring sambil menonton televisyen dan dikejutkan dengan kehadiran harimau akar di pintu depan rumahnya.

Dia yang tinggal berjiran dengan adiknya berkata, Tahir yang tidak dapat bercakap akibat kanser peti suara bertindak menghalau harimau akar terbabit sebelum haiwan itu melompat ke atas katil Faridah yang terlantar akibat strok.

“Ketika melompat ke katil, kuku harimau ini terkena pada kening adik yang terbaring lalu cedera.

“Haiwan liar ini kemudiannya bertindak melompat keluar ikut tingkap yang terbuka sebelum menyorok di bawah rumah,” katanya.

Ceritanya, adik iparnya itu berlari memanggilnya di rumah sambil memaklumkan dengan bahasa isyarat terdapat seekor harimau akar.

“Saya segera memanggil jiran dan sepupu yang tinggal berhampiran untuk melihat haiwan tersebut yang menyorok di bawah rumah.

“Mulanya saya sangka kucing atau haiwan lain, tetapi apabila jiran dan saudara datang menyuluh di bawah rumah, kami semua terkejut melihat harimau akar yang bersaiz agak besar ada di sini,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN