KUALA LUMPUR: Anak kepada penyanyi legenda, Uji Rashid, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Cico Harahap, meninggal dunia di Hospital Ampang, kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Pemergian pelakon berusia 48 tahun itu disahkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez.
Menurut Sandakiah, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas kira-kira seminggu menerima rawatan di hospital berkenaan akibat mengalami kesukaran bernafas.
Katanya, Cico pada awalnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa Khamis lalu.
“Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum dikenal pasti,” katanya.
Dalam pada itu, usaha mendapatkan maklum balas Uji Rashid berhubung berita duka berkenaan masih belum berhasil apabila penyanyi itu belum memberikan sebarang respons.
Mengimbas kembali, Cico mula menceburi bidang lakonan pada 1993 sebelum dilaporkan mengalami masalah kesihatan sejak penghujung 2016.
Sepanjang berdepan masalah kesihatan, Uji bukan sahaja mendapatkan rawatan hospital buat anaknya, malah turut membawanya menjalani rawatan perubatan Islam.











