Watak Kuda dan Fakhri, saya sudah semak format masih ikut peraturan perfileman- Mierul Aiman - Utusan Malaysia

Watak Kuda dan Fakhri, saya sudah semak format masih ikut peraturan perfileman- Mierul Aiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mierul Aiman,28, memahami sekiranya peminat dan penonton berasa keliru apabila melihatnya membawakan watak Kuda dalam drama Kudrat 1968, selepas sebelum ini cukup sinonim dengan karakter Fakhri menerusi siri Projek: High Council.

Menurut Mierul, kekeliruan itu sememangnya sesuatu yang wajar memandangkan format yang digunakan menerusi Kudrat 1968 masih dianggap asing dalam industri tempatan.

Mierul berkata, ia khususnya apabila pelakon sama muncul dalam dunia atau ‘universe’ yang sama dengan watak berbeza.

“Betul, mungkin orang akan keliru dan saya rasa sangat adil untuk mereka rasa keliru. Sebenarnya ayat yang lebih tepat adalah mereka rasa asing kerana format dan formula untuk seorang pelakon yang sama, dalam universe yang sama, tajuk yang sama tetapi membawa karakter yang berbeza, sangat asing dalam dunia perfileman ataupun dunia siri di Malaysia.

“Saya sendiri pun rasa perkara itu asing. Sebab itu saya rasa mereka patut rasa seperti itu.

“Sebelum saya pergi ke uji bakat dan sebelum saya bertanya kenapa mereka memilih saya, saya semak dahulu sama ada format ini masih mengikut peraturan perfileman. Saya dapati di Malaysia masih belum ada format seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mierul berkata, dia turut membuat penelitian terhadap karya-karya dari luar negara bagi memastikan pendekatan tersebut bukan sesuatu yang bercanggah dengan kebiasaan dalam industri perfileman antarabangsa.

“Saya semak juga dalam skala yang lebih besar iaitu di luar negara, sama ada format ini sudah pernah digunakan. Jawapannya, ya, format ini sudah ada, cuma ia sangat-sangat asing dan sangat jarang digunakan.

“Antara naskhah yang saya percaya mempunyai cerminan paling tinggi dengan Kudrat 1968 ialah sebuah naskhah yang mempunyai dua pelakon memegang watak dalam universe dan tajuk yang sama, tetapi membawa karakter yang berbeza.

“Itu membuatkan saya rasa ada sedikit kepercayaan dan keyakinan bahawa saya boleh melaksanakan tanggungjawab ini tanpa melanggar format perfileman di seluruh dunia,” ujarnya.

Mierul yang pernah mencuri perhatian menerusi watak Fakhri dalam Projek: High Council itu berkata, keyakinannya untuk menggalas karakter Kuda turut diperkukuhkan selepas dia menelaah keseluruhan naskhah berkenaan.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan apa yang saya cuba sampaikan dan tahu-tahu saya dapat panggilan untuk watak Kuda. Daripada menelaah naskhah itu sendiri, kita sudah jadi peminat kepada cerita itu sebelum saya berlakon dalam cerita ini.

“Kemudian saya pergi kepada pembedahan skrip dan pembedahan karakter. Sudah pasti saya perlukan bantuan daripada orang-orang yang lebih bertanggungjawab iaitu pengarah, penulis dan jurulatih lakonan selain rakan-rakan pelakon. Mereka semua menguatkan keyakinan saya untuk membawa watak Kuda,” katanya.

Mierul pada masa sama berharap penonton dapat melihat Kuda sebagai karakter yang berdiri sendiri dan tidak terlalu membandingkannya dengan Fakhri, memandangkan kedua-dua watak tersebut mempunyai latar, jiwa serta pendekatan lakonan yang berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×