KUALA LUMPUR: Kisah perjuangan seorang anak kampung, Mohd Isa bin Pandak Mat Aris yang berani menceburi tanaman getah ketika industri berkenaan masih dikuasai estet milik penjajah British, bakal dihidupkan menerusi pementasan monodrama Tok Ki.
Pementasan yang mengangkat kisah benar kehidupan Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Tok Ki itu akan berlangsung pada 24 hingga 26 September ini, jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Pengarah merangkap Pengerusi Persatuan dan Produksi Teater Tok Ki (PEMEKAR), Amran Nasrudin berkata, kisah Tok Ki sebelum ini pernah diangkat Allahyarham Syed Alwi menerusi karya Isa, yang kemudiannya diterbitkan oleh TV3 sekitar 1984 atau 1985 di bawah arahan dan penerbitan Allahyarham Rohani Yusof.
Menurutnya, hasrat untuk menghidupkan kisah berkenaan di pentas sudah tercetus sejak 2005 dan hanya kini dapat direalisasikan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Justeru, saya mengambil inisiatif untuk mementaskannya sejak 2005 sehingga tahun ini dapat dipentaskan dengan sokongan MOTAC.
“Saya selaku pengarah dan pengerusi PEMEKAR menjemput semua hadir menonton teater ini bagi mengembalikan nostalgia sejarah getah negara yang bermula dari sini,” katanya.
Amran berkata, Tok Ki difahamkan meninggal dunia pada usia 100 tahun dan pementasan itu turut mengambil latar sambutan 100 tahun industri getah di Malaysia.
Katanya, penceritaan bermula pada era 1980-an apabila Tok Ki menceritakan pengalamannya kepada pegawai RISDA, anak-anak muda serta cucu cicit yang berada bersamanya sebelum penonton dibawa mengimbas kembali kehidupannya ketika berusia 30-an.
“Pada ketika itu, Tok Ki bekerja dengan estet yang majoritinya menggunakan tenaga buruh India yang dibawa masuk oleh British.
“Beliau kemudian merasakan tidak perlu lagi bekerja di situ dan mengambil keputusan pulang ke kampung untuk memulakan penanaman getah sendiri,” katanya.
Menurut Amran, pementasan monodrama itu akan menampilkan pelbagai kisah jerih perih, cabaran dan pengorbanan yang dilalui Tok Ki sehingga beliau berjaya membina kehidupan sebagai pekebun kecil getah.
Watak Tok Ki dilakonkan Fathil Dani, manakala Amran bertindak sebagai pengarah dan pengolah skrip.
Amran berkata, pihaknya mengambil kira aspek sejarah, bahasa dan latar masyarakat pada awal abad ke-20 bagi memastikan pementasan itu tidak lari daripada konteks zaman.
“Banyak yang perlu kita jaga kerana kita cuba membawa realiti sekitar tahun 1910 hingga 1920, iaitu puluhan tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
“Dari segi bahasa, kita tidak terlalu mengutamakannya, tetapi loghat Kuala Kangsar, Perak tetap dikekalkan kerana kita tidak boleh lari daripada latar tempat Tok Ki,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Arkib Negara Malaysia yang menurutnya banyak membantu dalam kajian mengenai kisah Tok Ki yang dilakukannya sejak sedekad lalu.
Sementara itu, Fathil berkata, cabaran utama melakonkan watak berkenaan ialah membawa karakter seorang lelaki yang membesar dalam suasana masyarakat dan dunia tanaman getah yang berbeza daripada latar kehidupannya.
“Walaupun saya berasal dari Perak, saya tinggal berdekatan pantai dan lebih banyak bergelumang dengan laut berbanding pokok getah.
“Namun, saya cuba sedaya upaya menyahut cabaran Amran untuk membawa loghat Kuala Kangsar dalam watak Tok Ki,” katanya.
Menurutnya, kisah Tok Ki turut mempunyai sisi menarik apabila watak berkenaan akhirnya beralih daripada tanaman getah kepada durian selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang kehidupannya.
“Saya harap penonton datang memberikan sokongan kepada pementasan ini,” katanya.
Fathil yang memulakan kerjaya lakonan di bawah bimbingan Allahyarham Rahman B, penerima Anugerah Seniman Negara 2004, turut menyifatkan watak Tok Ki sebagai satu cabaran baharu dalam perjalanan seninya.
Tok Ki turut menampilkan Shahriza Mahmud, A. Syaz, Qistina Liew, Amran Nasrudin, Zayrul-Iqwan Rosli, Shasha Masella, Nabil Fiqrie dan Shah Samurai.
Turut menjayakan pementasan ialah Kathan Raj, Wong Sheng Meng, Bobie Challoo, Azuin Aziz, Jamaludin Husin serta pelakon kanak-kanak Zahraa’ Auni, Zakwan Aryan dan Zaira Alia.
Sumbangan masuk ditetapkan sebanyak RM20 dan tempahan boleh dibuat menerusi tinyurl.com/tokki2026.
Pementasan Tok Ki mengisahkan perjalanan Mohd Isa bin Pandak Mat Aris yang bermula sebagai pekerja dan kontraktor di estet sebelum memilih untuk pulang ke kampung dan mengusahakan tanaman getah sendiri.
Dengan modal terhad, bantuan sahabat serta sokongan isterinya, Long Safiah, beliau membuka sebidang tanah kecil untuk ditanam dengan pokok getah.
Keputusan itu pada awalnya tidak disenangi semua pihak. Ada yang memperlekeh dan menganggap usahanya tidak lebih daripada angan-angan.
Namun, Tok Ki terus berusaha bersama isterinya sehingga kebun kecil tersebut membuahkan hasil.











