AZNAN Alias, antara nama yang terkenal dalam industri muzik tanah air. Beliau gitaris tersohor yang berkelana dalam dunia seni tempatan selama lebih empat dekad.
Sejak zaman remajanya lagi, Aznan sudah menetapkan yang satu masa nanti, dia mahu menjadi pemuzik disegani, duduk dalam studio dan bebas berkarya. Namun beliau sedar untuk mencapai matlamat itu, dia harus tempuhi sepak terajang dunia hiburan.
Aznan bergelar gitaris ketika usianya 20-an, dengan bermain muzik di kelab malam, mengiringi penyanyi, Roy yang ketika itu sudah menerbit sebuah album.
“Saya bersama Suflan Faizal bermula bermain muzik untuk sebuah band yang aktif membuat persembahan di kelab malam, vokalis kami pada ketika itu adalah Roy. Jadi, kumpulan itu dinamakan sebagai Roy. Kami mengiringi persembahan Roy untuk beberapa bulan. Dia pada ketika itu sudah muncul dengan sebuah album bertajuk Nekad.
“Namun selepas itu, saya beralih kepada membuat kerja-kerja studio rakaman. Alhamdulillah, cita-cita saya tercapai pada usia muda. Kemudian, Datuk M. Nasir melihat kebolehan saya, lalu menawarkan saya untuk menjadi pemain session bagi rakaman album Roy pada 1993. Saya bermain gitar untuk sebuah lagu bersama Roy dalam album itu,” ceritanya.
Aznan pada ketika itu ingin bebas berkarya, justeru dia menolak tawaran menganggotai mana-mana kumpulan rock ternama dan lebih selesa melakukan kerja-kerja menerbitkan album di studio.
“Masa itu saya menolak tawaran menganggotai kumpulan. Bahkan ketika uji bakat menjadi salah seorang anggota Search, saya tidak hadir. M. Nasir bertanya kepada saya kenapa tidak datang untuk sesi tersebut? Terus terang saya katakan, saya enggan kerana hati saya tiada di situ.
“Saya lebih memilih bermain muzik dalam studio. Melihatkan pemain session ketika itu, seperti Hamzah Mohd. Taib atau Kid Search hebat bermain gitar membuatkan hati saya semakin terikat dengan studio. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu, saya terlibat menerbitkan album ramai penyanyi, antaranya empat album bersama Datuk Awie dan kesemua album M. Nasir saya terbitkan bersama beliau,” ceritanya.

Beberapa tahun membuat kerja-kerja studio, akhirnya Aznan terbuka hati untuk menganggotai kumpulan Rock dengan menyertai Saturnine pada 1990.
Dia kemudian beralih kepada kumpulan Strangers yang turut dianggotai bekas anggota Wings, Black dan bekas vokalis kumpulan May iaitu Mus. Sepanjang satu tahun penubuhannya, Strangers sempat melahirkan sebuah album pertama dan terakhir mereka iaitu Strangers yang dirakam di Indonesia.
“Ketika menganggotai Strangers, kami berpeluang menjalani proses rakaman di Indonesia. Yang peliknya, di Indonesia, kami tidak dibenarkan membawa lagu Malaysia. Mereka tidak mahu galakkan muzik Malaysia terus menyelinap masuk ke dalam masyarakat.
“Bayangkan sebelum kedatangan kami, kumpulan Slam berjaya merekodkan jualan album sebanyak 15 juta unit di Indonesia, lagu Iklim pula cukup meletup di sana, sehinggakan masyarakat Indonesia menggelarkan lagu Suci Dalam Debu sebagai lagu ‘tayamum’. Jadi, mereka mahu sekat pengaruh muzik Malaysia yang sudah sedia mendominasi di sana,” katanya.

SALEEM SETARAF ARTIS LEGENDA INDONESIA
Sebagai pemuzik bertaraf legenda, pengalaman Aznan dalam bidang muzik terlalu luas dan terlalu banyak kisah yang mewarnai kariernya.
Dia juga menyaksikan bagaimana besarnya nama artis Malaysia di Indonesia sehingga album mereka terjual ratusan ribu unit di sana.
“Saya pernah bawa arwah Saleem Iklim untuk merakamkan lagu di Bandung, Indonesia kerana ketika itu khidmat penghasilan lagu di sana sangat murah. Kami ke Bandung menaiki kereta api. Sepanjang perjalanan, lagu beliau tidak putus-putus dipasang di televisyen dalam kereta api tersebut. Saleem cuba sedaya upaya untuk menutup identitinya.
“Namun keberadaan beliau dalam kereta api itu disedari pelayan bertugas dan kemudiannya beliau dikerumuni peminat. Sesudah sampai ke Bandung, kami terpaksa beredar dari stesen kereta api dengan diiringi polis kerana terlalu ramai peminat menyerbu beliau.
“Begitu besarnya arwah Saleem di Jakarta setaraf artis bertaraf legenda di Indonesia. Sampaikan orang terperanjat melihat beliau,” katanya.
Kata Aznan, permintaan terhadap artis Malaysia di Indonesia satu masa dahulu sangat tinggi. Khuatir dengan perkara itu, wujud pihak-pihak tertentu yang menghalang muzik Malaysia mudah masuk ke Indonesia.
“Pada sekitar 1990-an, Sheila Majid pernah menganjurkan konsert di Jakarta. Namun, setibanya di sana, pasukannya tidak dibenarkan untuk mengadakan promosi radio, televisyen di sana walhal konsert itu hanya berbaki satu minggu sahaja lagi.
“Gara-gara sekatan itu, Roslan Aziz mencari jalan lain, dengan membawa Sheila menaiki kereta pacuan empat roda, mengelilingi jalan raya Jakarta yang sesak untuk mempromosikan konsert berkenaan.
“Itulah cerita yang tidak didendangkan. Orang melihat konsert laku bagai pisang goreng panas, tetapi sebaliknya beliau tidak dibenarkan membuat promosi dan akhirnya terpaksa menggunakan cara lain untuk menarik orang ramai,” katanya.

Bercakap mengenai Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Aznan mengakui Siti, yang menerima permintaan tinggi di Indonesia, terpaksa melalui jalan sukar kerana kedatangannya ke Indonesia untuk menganjurkan konsert disabotaj penjaga industri di sana.
“Tanyalah kepada maestro Aubry Suwito, apa pengalamannya membawa Siti ke Indonesia. Kami disabotaj sepanjang keberadaan kami di sana. Berbeza dengan apa yang dijanjikan ketika perbincangan dilakukan di Malaysia.
“Pemuzik dari Malaysia dianak tirikan. Sepanjang keberadaan kami di sana, kami tidak habis-habis ‘menyumpah’ penganjur. Permintaan untuk membawa Siti ke sana terlalu besar. Namun pelbagai halangan terpaksa kami lalui untuk menganjurkan konsert Siti,” katanya lagi.
Aznan memaklumkan pengaruh yang dimiliki Siti Nurhaliza telah membenamkan populariti artis Indonesia sehingga beliau pernah diiktiraf nama besar di sana.
“Siti Nurhaliza merupakan artis paling berpengaruh di Indonesia. Sebelum Siti dipilih sebagai duta Pantene satu ketika dulu, syarikat pemilik jenama itu, Procter & Gamble (P&G) melaburkan kira-kira 20 juta untuk mengenal pasti siapa artis paling popular di sana.
“Siti menduduki tangga pertama, dengan nilai populariti melebihi 40 peratus berbanding Kris Dayanti yang berada di kedudukan kedua. Siti bertahan selama satu tahun selaku duta Pantene, selepas itu Siti batalkan kontrak disebabkan hal tertentu.
“Itu menunjukkan betapa besar pengaruh Siti di Indonesia, mengalahkan semua artis ternama di sana,” ujarnya.

INDUSTRI SENI YANG TIDAK TERBELA
Aznan mengimbau zaman kegemilangan industri seni (antara tahun era 80-an sehingga 2000) yang dijaga dengan baik oleh kerajaan memerintah ketika itu yang padanya prihatin membela nasib penggiat seni.
“Industri seni, sekitar tahun 1980-an, dijaga baik oleh bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat. Bayangkan, album penyanyi Ramlah Ram terjual sehingga ratusan ribu, nasib anak seni terbela.
“Pada 1992, pertama kali dalam sejarah, Mohamed memotong rambut artis rock dan perkara itu tular di dada akhbar. Itu menandakan kerajaan prihatin kepada artis Malaysia. Ini kerana industri seni berkembang pesat dan terkawal, dengan koleksi royalti lagu sahaja direkodkan sehingga RM900 juta keseluruhannya.
“Sehinggalah tahun 2000, apabila Akta Hak Cipta digubal, pemuzik dan penyanyi menikmati royalti, termasuk yang terkumpul sejak zaman kegemilangan muzik tanah air sekitar tahun 80-an. Jumlah yang menghampiri ratusan juta,” katanya.
Berkongsi pengalaman hitam, Aznan memaklumkan pernah ditipu seorang kenamaan ketika membuat persembahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Katanya, bukan sekadar bayaran persembahan, individu tersebut turut bertindak memperlekehkan kerjaya pemuzik yang pada fikirannya seperti kasta bawahan.
“Saya ditawarkan bermain muzik untuk majlis hari raya yang dianjurkan seorang individu terkenal berpangkat Tan Sri, majlis itu dihadiri orang kenamaan dan para selebriti. Namun bayaran kami pemuzik tidak lepas kerana cek yang diterima rupanya cek tendang.
“Individu berpangkat Tan Sri itu memperlekehkan kerja pemuzik, ibaratnya bermain muzik ini kerja senang. Kami hanya mampu bersabar, lantik peguam dan saman individu tersebut. Ini membuktikan tahap hormat segelintir individu yang berpangkat besar terhadap artis, lebih-lebih lagi pemuzik, amat rendah.
“Persepsi kerja pemuzik, penghibur mudah perlu dikikis. Kita bukan bercakap tentang peminat, kita bercakap tentang segelintir orang kenamaan yang memandang rendah kerjaya pemuzik dan artis. Kesedaran mereka tentang industri seni terlalu rendah,” ujarnya.










