KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mempersoalkan sejauh mana keselamatan anak-anak benar-benar terjamin ketika berada di sekolah susulan peningkatan kes buli yang melibatkan pelajar sejak kebelakangan ini.
Nora berkata, isu buli tidak seharusnya dilihat hanya sebagai masalah yang berlaku di sesebuah kategori sekolah atau institusi tertentu, sebaliknya memerlukan perhatian dan tanggungjawab bersama semua pihak.
“Sejak kebelakangan ini, kita semakin kerap mendengar tentang kes buli yang melibatkan pelajar sekolah. Sebagai ibu bapa, sudah tentu timbul persoalan, sejauh mana anak-anak kita benar-benar selamat apabila berada di sekolah?
“Saya tidak mahu menuding jari kepada sekolah kerajaan, sekolah agama, sekolah swasta atau mana-mana institusi tertentu.
“Kes buli boleh berlaku di mana-mana. Tetapi apabila sesuatu kes berlaku, kita perlu melihat sejauh mana pihak sekolah mempunyai sistem pencegahan, pemantauan, pelaporan dan tindakan yang benar-benar berkesan,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, aspek keselamatan pelajar bukan sahaja bergantung kepada tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya turut memerlukan sistem pencegahan dan pemantauan yang berkesan.
Nora turut menegaskan kepentingan memastikan anak-anak berani bersuara sekiranya mereka berdepan situasi yang tidak selamat atau menjadi mangsa buli.
“Anak-anak juga perlu tahu bahawa mereka boleh bercakap dan melaporkan apa yang berlaku tanpa rasa takut dan terancam. Ibu bapa pula perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak dan pihak sekolah.
“Jangan tunggu sehingga anak kita sendiri menjadi mangsa, baru nak ambil cakna. Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Nora mengajak masyarakat khususnya ibu bapa untuk bersama-sama menilai keberkesanan sistem sedia ada dalam menangani isu buli di sekolah.
Beliau turut membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi pandangan mengenai sama ada mekanisme yang ada ketika ini benar-benar mencukupi bagi melindungi keselamatan pelajar.
“Apa pandangan anda? Adakah sistem yang ada sekarang sudah cukup untuk melindungi anak-anak kita?” katanya.











