Hampir separuh hidup saya, saya habiskat di set - Nabila Huda - Utusan Malaysia

Hampir separuh hidup saya, saya habiskat di set – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Nabila Huda, mendedahkan kerja keras yang dilakukannya selama 25 tahun dalam industri membuktikan dia tidak berada di tahap sekarang dengan mudah dan menolak tanggapan bahawa profesion itu bukan sekadar glamor.

Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 42, berkata, dia terpanggil berkongsi realiti sebenar kehidupan sebagai pelakon selepas melihat masih ada segelintir yang gemar memperkatakan buruk tentang bidang hiburan.

“Saya sangat sayangkan kerjaya saya. Ini profesion saya dan saya cuma mahu berkongsi bagaimana rasanya menjadi seorang pelakon.
“Saya bekerja keras untuk berada di tahap ini. Kalau difikirkan semula, hampir separuh daripada hidup saya habiskan di set,” katanya menerusi hantarannya di Instagram miliknya.

Nabila berkata, dia sentiasa memberikan sepenuh jiwanya kepada setiap watak yang dibawakan dan itulah yang menjadi prinsipnya sepanjang bergelar anak seni.

“Saya mencipta watak. Saya memberikan sebahagian daripada diri saya kepada setiap cerita.

“Satu perkara yang saya pasti, saya menjalani hidup sepenuhnya dengan melakukan apa yang saya cintai,” ujarnya.

Sementara itu, Nabila berharap orang ramai memahami bahawa di sebalik apa yang dipaparkan di kaca televisyen, terdapat pelbagai pengorbanan yang tidak dilihat.

“Sebelum menghakimi profesion kami, sebelum mengatakan kerja ini mudah, glamor atau sekadar berlakon, fahamilah bahawa di sebalik apa yang anda lihat di skrin, ada berjam-jam pengorbanan, keletihan, disiplin dan komitmen yang anda tidak nampak.

“Kami bukan bermain-main dengan kerjaya kami. Kami mengambil kerja ini dengan serius, kami berkorban untuknya dan kami berjuang untuknya,” katanya.

Kata anak kepada penyanyi popular Amy Search itu, selepas dua setengah dekad berada dalam industri hiburan, semangatnya untuk terus memperbaiki diri sebagai pelakon masih belum pernah pudar.

“Kami memberikan segala yang kami ada. Dan yang paling penting, kami mencintainya.

“Sudah 25 tahun dan saya masih di sini. Saya masih belajar, masih meneroka dan masih lapar untuk menjadi lebih baik. Itu bukan sekadar kerjaya, itu minat saya.

“Ini adalah sumpah hidup dan mati saya. Selagi saya masih bernafas, tiada siapa boleh menghalang saya daripada terus berkarya. Inilah diri saya dan saya akan terus mencipta sehingga nafas terakhir,” katanya.

Untuk rekod, Nabila Huda memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2001 dan mula melonjak naik menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, serta drama-drama popular seperti Teduhan Kasih, Kamar Kamariah, dan Lelaki Itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×