Sudah lali dibayangi adiknya, Adira Suhaimi, penyanyi, Emma Suhaimi mengakui persepsi orang ramai menjadi antara punca dirinya mengambil masa 16 tahun untuk kembali mencipta nama dalam industri seni.
Nafi iri hati dengan kejayaan yang dikecapi Adira, Emma bagaimanapun tidak membiarkan tanggapan itu mematahkan semangatnya untuk menikmati pencapaian yang sama seperti adiknya.
Menurut Emma, perbandingan dalam kalangan peminat itu adalah lumrah apatah lagi melibatkan hubungan kekeluargaan dalam industri yang sama.
“Tidak pernah timbul soal kecil hati, jauh sekali. Cuma itulah antara faktor terbesar kenapa saya mengambil masa 16 tahun. Sehinggalah Adira sendiri cakap jangan takut dengan perbandingan orang.
“Apabila adik-beradik berada dalam industri yang sama, memang akan ada perbandingan. Bukan saya dan Adira sahaja, mungkin pasangan adik-beradik selebriti lain juga melalui perkara sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Emma, tempoh panjang dalam industri turut mengajarnya bahawa kejayaan seseorang bukan sesuatu yang perlu dibandingkan, selain menyerahkan segalanya aturan rezeki itu kepada Sang Pencipta.
Malah, penyanyi berusia 37 tahun itu sentiasa berbangga melihat pencapaian Adira dan tidak pernah menganggap kejayaan adiknya sebagai ancaman terhadap perjalanan seninya sendiri.
“Selepas 16 tahun dalam industri, saya semakin yakin semuanya bergantung kepada rezeki. Siapa yang menyerlah dahulu itu belakang cerita. Kita perlu sentiasa gembira melihat orang yang lebih dahulu berjaya. Apatah lagi dia adik saya. Saya sangat gembira untuknya.
“Cuma kadang-kadang terfikir, tidak bolehkah orang tidak membanding-bandingkan kami? Tetapi sekarang saya sudah faham kenapa orang berbuat begitu. Saya sudah lali dan boleh menerimanya.
“Dalam adik-beradik pun mungkin seorang akan lebih menyerlah dan seorang lagi biasa-biasa sahaja. Saya sudah biasa menjadi yang biasa-biasa itu. Mana tahu selepas ini saya pula jadi luar biasa?” selorohnya.
Dulu tiada peluang memilih, Tersakiti jadi pilihan hati
Tampil dengan lagu terbaharu berjudul Tersakiti, penyanyi kelahiran Sabah itu menyifatkan kematangan dan pengalaman sepanjang bergelar penyanyi membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam menentukan karya yang mahu dibawa.
Mengimbas kembali fasa awal kerjayanya selepas menyertai Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Emma mengakui dia tidak mempunyai banyak pilihan dalam menentukan lagu yang benar-benar bersesuaian dengan kemampuan vokalnya.
Keadaan tersebut membuatkannya berasakan sebahagian karya yang diterima ketika itu sekadar ‘tangkap muat’, sekali gus mendorongnya untuk tidak mengulangi pengalaman sama ketika membuat kemunculan semula.
“Ketika zaman AF dahulu, mungkin saya tidak mempunyai peluang untuk memilih lagu sendiri. Orang hanya menawarkan lagu. Penyanyi ketika itu tidak boleh terlalu memilih.
“Kalau ada komposer atau orang yang mahu menghasilkan lagu untuk saya pun sudah cukup bersyukur. Suka atau tidak, saya perlu terima. Itulah pengalaman saya dahulu.
“Bagi saya, ia seperti tangkap muat. Jadi sekarang saya tidak mahu berada dalam situasi itu lagi. Kalau mahu menyanyi, saya mahu memilih sendiri lagu yang saya suka dan saya rasa mampu membawa karakter vokal saya dengan tepat,” kongsinya.
Dalam pada itu, Emma tidak menafikan timbul kebimbangan untuk menghasilkan karya seterusnya selepas single terbaharunya itu mula menunjukkan perkembangan positif dan mendapat perhatian pendengar.
“Memang ada rasa bimbang dan risau. Setiap kali mahu memilih lagu, perkara pertama yang kita fikir adalah sama ada orang akan suka atau tidak. Saya rasa semua penyanyi melalui perasaan sama apabila memilih lagu. Kita tidak tahu bagaimana penerimaan pendengar dan akhirnya semuanya bergantung kepada rezeki.
“Yang penting, saya perlu menyampaikan lagu itu sebaik mungkin. Ketika proses rakaman, saya tidak boleh main-main dan perlu keluarkan segala kemampuan yang ada,” ujarnya.











