Ernie Zakri lancar single Sejambak Bunga di pentas KLFW - Utusan Malaysia

Ernie Zakri lancar single Sejambak Bunga di pentas KLFW

Ernie Zakri KLFW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi Ernie Zakri melancarkan single terbaharunya, Sejambak Bunga menerusi pertunjukan fesyen Lerai sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) di Esplanade, KLCC Park, pada 8 Ogos lalu.

Menurut Ernie, pemilihan pentas tersebut mempunyai makna tersendiri apabila konsep koleksi yang diketengahkan pereka fesyen, Zaimi Zulkafli menerusi Lerai berkongsi semangat yang selari dengan mesej lagu berkenaan.

Katanya, muzik menjadi medium untuk menyampaikan emosi dan cerita, manakala fesyen pula menawarkan bahasa berbeza untuk menterjemahkan rasa kepada khalayak.

“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaim, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’.

“Muzik dan fesyen mempunyai cara berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ernie, Sejambak Bunga mengangkat tema kebangkitan dan perjalanan seseorang dalam melalui pelbagai fasa kehidupan.

Ernie Zakri KLFW

“Bagi saya, lagu ini tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik.

“Antara mesej terpenting yang ingin disampaikan menerusi lagu ini adalah tentang kekuatan untuk tetap memilih kebaikan,” katanya.

Lagu ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu turut menjadi karya pertama Ernie hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu berkenaan.

Ernie berkata, perubahan yang dilalui dalam kehidupan sebagai wanita, isteri, ibu dan anak seni turut mempengaruhi cara beliau mendekati muzik.

“Saya mahu orang mendengar ‘Sejambak Bunga’ dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya.

“Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju. Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Sejambak Bunga kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×