Wany Hasrita, Khai Bahar kembali bergandingan dalam Impian Di Seoul - Utusan Malaysia

Wany Hasrita, Khai Bahar kembali bergandingan dalam Impian Di Seoul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keserasian penyanyi popular, Wany Hasrita dan Khai Bahar kembali menjadi taruhan menerusi siri mikro K-drama terbaharu, Impian Di Seoul, selepas gandingan mereka dalam musim pertama, Salju Di Busan, mendapat sambutan menggalakkan penonton.

Dalam musim kedua itu, Wany dan Khai kembali menghidupkan watak Hanna dan Omar dengan jalan cerita yang lebih sarat konflik, emosi dan kejutan, sekali gus menguji hubungan dua watak berkenaan.

Jika musim terdahulu menyaksikan hubungan Hanna dan Omar berkembang menerusi tema persahabatan dan persaingan, Impian Di Seoul membawa perjalanan mereka ke tahap baharu apabila kemunculan watak misteri, Cidi lakonan Shahz Jaszle, mengubah segala-galanya.

Kehadiran Cidi yang menyimpan motif tersendiri dijangka mencetuskan konflik dan menjadi penghalang kepada hubungan Omar dan Hanna, selain memberikan dimensi baharu kepada gandingan Wany dan Khai yang sebelum ini berjaya mencuri perhatian peminat.

Keserasian kedua-dua penyanyi itu bukan sesuatu yang asing kepada penonton. Selain bergandingan sebagai pelakon dalam Salju Di Busan, Wany dan Khai turut merakamkan lagu tema asal NONGSHIM, Makan Cintaku, yang menjadi pelengkap kepada perjalanan emosi watak mereka.

Kali ini, menerusi latar kota Seoul, kedua-duanya tampil dalam kisah yang menyentuh cabaran mengejar kerjaya impian, mempertahankan jati diri dan berdepan tekanan budaya digital masa kini.

Impian Di Seoul merupakan musim kedua siri mikro K-drama TikTok terbitan NONGSHIM Malaysia selepas kejayaan Salju Di Busan yang menggabungkan elemen penceritaan berinspirasikan Korea dengan citarasa tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden NONGSHIM, Antonio Jo, sambutan terhadap musim pertama melebihi jangkaan dan membuktikan kemampuan penceritaan digital dalam mewujudkan hubungan lebih dekat antara jenama dengan pengguna.

“Apa yang bermula sebagai satu eksperimen berani kini berkembang menjadi fenomena budaya yang menyatukan penonton Korea dan Malaysia melalui gelombang baharu penceritaan digital.

“Untuk musim kedua, kami bukan sahaja mahu meningkatkan nilai hiburan, malah meraikan kecintaan bersama terhadap drama, makanan dan kreativiti yang menghubungkan Malaysia dan Korea,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Komersial GBA Corporation (NONGSHIM Malaysia), Foo Siew Kheng berkata, kejayaan musim terdahulu mendorong pihaknya untuk terus menghasilkan kandungan segar menerusi gabungan penceritaan yang dekat dengan kehidupan penonton dan format digital inovatif.

Impian Di Seoul diterbitkan oleh Red Communications, diasaskan penerbit dan pembikin filem Lina Tan, manakala pengarahan diterajui Umi Omar.

Menariknya, musim kali ini turut menawarkan pengalaman interaktif apabila penonton berpeluang menentukan kesudahan cerita menerusi beberapa pengakhiran alternatif.

Peminat boleh mengundi pengakhiran pilihan masing-masing di TikTok, sekali gus menentukan nasib perjalanan cinta Omar dan Hanna.

Siri yang ditayangkan sempena Malaysia International Film Festival (MIFFest) Ke-9 2026 itu mula menemui penonton secara eksklusif menerusi akaun TikTok NONGSHIM Malaysia bermula 21 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN