KUALA LUMPUR: Syarikat e-dagang penstriman langsung (live commerce), JAM, mengorak langkah lebih agresif apabila melancarkan segmen baharu berbahasa Melayu, JAM Bahasa, selain membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukannya dalam industri e-dagang sosial negara.
Langkah itu menandakan pengembangan terbesar syarikat sejak penubuhannya pada April 2024 apabila buat pertama kali memasuki pasaran pengguna berbahasa Melayu selepas mencipta kejayaan dalam segmen berbahasa Cina.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, komuniti Melayu merupakan kelompok pengguna terbesar di Malaysia dengan potensi pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya, khususnya dalam segmen e-dagang penstriman langsung premium.
Katanya, kejayaan syarikat membangunkan model perniagaan dalam kalangan pencipta kandungan berbahasa Cina memberi keyakinan bahawa formula sama boleh diperluaskan ke pasaran Melayu melalui pendekatan yang lebih setempat.
“Model ini bersifat universal. Kami hanya perlu menyesuaikannya mengikut budaya dan keperluan pengguna tempatan. Jika ia berjaya diaplikasikan kepada komuniti berbeza dalam negara yang sama, ia membuktikan model ini mempunyai kebolehskalaan yang tinggi,” katanya.
Bagi menerajui segmen baharu itu, JAM melantik pasangan selebriti terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari sebagai pengasas bersama, bukan sekadar duta jenama.
Menurut Cherine, penglibatan mereka mencerminkan keyakinan terhadap model perniagaan syarikat serta menyelaraskan kepentingan kedua-dua pihak bagi pertumbuhan jangka panjang.
Sejak ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan pertumbuhan tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya hasil peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung profesional.

Daripada hanya menguruskan beberapa pencipta kandungan di Instagram, syarikat itu kini berkembang menjadi rangkaian multi-saluran (MCN) yang merangkumi TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram.
Pada masa ini, JAM menguruskan kira-kira 10 pempengaruh utama dengan sokongan 20 kakitangan sepenuh masa yang menyediakan perkhidmatan pengurusan bakat, produksi penstriman langsung dan penyelesaian e-dagang hujung ke hujung.
Dalam tempoh tahun pertama operasinya, syarikat merekodkan Nilai Barangan Kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta, sebelum terus mencatat pertumbuhan hasil peningkatan jumlah sesi penstriman, mutu produksi serta kadar penukaran jualan yang lebih tinggi.
Cherine berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh pengoptimuman operasi serta pengembangan perniagaan penstriman langsung berasaskan afiliasi dan pengurusan kedai dalam talian.
“Setiap sesi penstriman memberikan data baharu yang membolehkan kami menambah baik strategi pemilihan produk, teknik penyampaian serta kadar penukaran jualan. Justeru, peningkatan bukan sekadar dari segi kuantiti, malah lebih penting ialah peningkatan kualiti setiap sesi penstriman,” katanya.
Menurut beliau, berbeza dengan agensi pempengaruh tradisional, JAM memberi tumpuan sepenuhnya kepada e-dagang penstriman langsung dengan menawarkan penyelesaian lengkap kepada jenama.
Katanya, model pendapatan syarikat merangkumi bayaran slot penstriman, komisen jualan dan insentif platform, sekali gus memastikan pendapatan syarikat berkait secara langsung dengan prestasi jualan pelanggan.
Kini, JAM menghasilkan lebih 300 jam kandungan penstriman langsung setiap bulan menerusi pelbagai saluran di bawah platform Lazada.
Sementara itu, Scha Alyahya berkata, e-dagang penstriman langsung semakin menjadi saluran penting dalam landskap peruncitan moden kerana pengguna mahukan pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif dan autentik.
“Sebagai pengasas bersama, saya bukan sekadar mewakili jenama, malah turut terlibat dalam membentuk hala tuju perniagaan bagi membina sebuah platform yang dipercayai pengguna serta memberi nilai kepada jenama tempatan,” katanya.
Bagi menyokong pertumbuhan syarikat, JAM turut membuka studio produksi penstriman langsung seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi dengan 13 bilik produksi lengkap.
Studio itu membolehkan syarikat mengendalikan keseluruhan operasi penstriman langsung termasuk perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, produksi serta pengurusan jualan secara masa nyata.
Pengasas bersama, Jane Lau pula berkata, industri e-dagang penstriman langsung dijangka menjadi lebih khusus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dengan pemisahan jelas antara pengendali yang mengejar jumlah tontonan dan mereka yang memberi tumpuan kepada penukaran jualan berkualiti.
Menurut beliau, kepercayaan pengguna akan menjadi faktor utama menentukan kelangsungan industri.
“Jika penstriman langsung hanya tertumpu kepada jualan keras tanpa kandungan berkualiti, pengguna akan hilang kepercayaan. Sebab itu kami memberi penekanan terhadap produksi premium dan kesesuaian antara pencipta kandungan dengan produk yang dipromosikan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat juga akan terus berhati-hati dalam mendapatkan pembiayaan dengan hanya memilih pelabur strategik yang berkongsi visi jangka panjang untuk membangunkan platform e-dagang penstriman langsung premium di peringkat serantau.
Sebagai langkah seterusnya, JAM menyasarkan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara termasuk Thailand pada suku pertama 2027, sejajar usaha memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri e-dagang sosial serantau.










