PETALING JAYA: Kumpulan pop wanita tempatan, DOLLA bakal mengharumkan nama Malaysia apabila diumumkan antara barisan artis yang akan membuat persembahan di The A Festival Paris 2026 pada 24 dan 25 Oktober ini.
Penyertaan itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat DOLLA apabila festival berkenaan menghimpunkan artis, peminat dan pemain industri muzik dari seluruh dunia, sekali gus membuka peluang memperluaskan pengaruh muzik Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan, DOLLA dipilih berdasarkan reputasi mereka sebagai antara kumpulan pop paling berpengaruh di Asia Tenggara menerusi persembahan bertenaga, kreativiti serta identiti muzik yang tersendiri.
Katanya, kumpulan itu terus mencipta nama dengan meraih jutaan peminat selain mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop terbesar di rantau ini.
“DOLLA telah membina reputasi menerusi persembahan yang bertenaga, kreativiti yang berani dan identiti seni yang tersendiri.
“Kumpulan ini terus menaikkan standard muzik pop moden sambil mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop terbesar di Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

DOLLA dijadual membuat persembahan pada 24 Oktober depan, sekali gus menjadi wakil Malaysia yang bakal berkongsi pentas bersama barisan artis antarabangsa di festival berkenaan.
Penyertaan itu dilihat mampu memperkenalkan bakat tempatan kepada khalayak global selain memperkukuhkan lagi kedudukan industri muzik Malaysia di persada antarabangsa.









