Bila sudah naik, pandang saya pun tidak – Shahz Jaszle - Utusan Malaysia

Bila sudah naik, pandang saya pun tidak – Shahz Jaszle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu segelintir pelakon baharu yang dikatakan mula berlagak seperti ‘star’, bersikap angkuh dan mewujudkan jurang dengan warga produksi bukanlah perkara asing dalam dunia seni. Malah, luahan pelakon Raja Atiq mengenai perkara itu sebelum ini turut membuka ruang kepada perbincangan tentang adab dan sikap sebenar seorang anak seni ketika berada di lokasi penggambaran.

Bagi aktor Shahz Jaszle, soal menghormati orang lain tidak harus diukur berdasarkan status senior atau junior, apatah lagi populariti seseorang. Sebaliknya, semuanya kembali kepada didikan, keperibadian dan cara seseorang membawa diri apabila berada dalam lingkungan masyarakat.

Malah, sepanjang melalui liku-liku industri seni, Shahz mengakui pernah menyaksikan sendiri perubahan sikap individu yang dahulunya rapat dengannya tetapi berubah selepas mengecap populariti.

Namun, daripada memaksa orang lain memberikan penghormatan, dia memilih untuk terus berpegang kepada nasihat senior: Hormati semua orang dan fokus kepada perjalanan sendiri.

Apa pandangan Shahz mengenai isu segelintir pelakon baharu yang dikatakan berlagak ‘star’ atau kurang beradab di set penggambaran?

Pada saya, perkara itu bergantung kepada individu dan soal adab. Kita sebagai orang Islam dan Melayu memang diajar menjaga silaturahim, memberi salam dan bergaul dengan baik. Jadi, semuanya datang daripada diri sendiri dan bagaimana keluarga mendidik kita. Cara kita membawa diri di luar sedikit sebanyak dipengaruhi oleh didikan keluarga. Kalau keluarga mendidik kita menjadi peramah, kita juga akan mudah beramah mesra dengan orang lain.
Tetapi sebagai pelakon, sama ada senior atau junior, kita juga tidak boleh memaksa orang menghormati kita. Takkan kita hendak cakap, “Eh, kau tak salam aku?” Kalau seseorang itu berbudi bahasa dan mempunyai adab yang tinggi, dia sendiri akan tahu bagaimana hendak menghormati orang lain.

Sepanjang berada dalam industri, pernahkah Shahz ditegur atau dianggap tidak mempunyai adab ketika baru bermula sebagai pelakon?

Alhamdulillah, tidak pernah. Saya memang jenis yang menegur semua orang. Mungkin kerana keluarga saya juga begitu. Orang yang saya tidak kenal pun saya boleh tegur, bukan hanya selebriti. Pada saya, adab adalah perkara nombor satu. Tidak rugi pun untuk kita bertegur sapa dan menghormati orang lain. Kenapa perlu sombong? Kenapa apabila menjadi pelakon, kita perlu meletakkan satu standard sehingga merasakan diri terlalu hebat? Bawa santai sahaja.

Ada pandangan mengatakan kasta memang wujud di set penggambaran apabila pelakon dan kru diberikan layanan berbeza. Apa pandangan Shahz?

Bagi saya, itu salah. Mungkin budaya seperti itu wujud di sesetengah negara. Saya pernah menjalani penggambaran dengan produksi luar dan memang ada yang sangat menjaga status artis sehingga mereka tidak bercampur dengan kru. Tempat makan artis juga disediakan secara berasingan dan lebih eksklusif.
Tetapi bagi kita, sejak dahulu lagi budaya kerja kita lebih santai. Kita boleh bercampur dan bergaul dengan semua orang.Kalau ada yang menganggap dirinya perlu dilayan secara berbeza, mungkin itu hanya segelintir individu. Terpulang kepada masing-masing. Namun, kebanyakan pelakon senior yang saya temui sebenarnya jauh lebih merendah diri. Mereka berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pelakon yang lebih muda.

Adakah nasihat pelakon senior banyak membentuk cara Shahz membawa diri dalam industri?

Ya, Alhamdulillah. Ketika saya masuk ke dalam industri kira-kira 10 tahun lalu, ramai senior yang memberikan nasihat kepada saya, termasuk Zamarul Hisham dan Datuk Adi Putra. Dia pernah berpesan bahawa pada satu tahap dalam perjalanan kerjaya, saya mungkin akan bertemu pelakon yang menganggap dirinya terlalu bagus. Ada juga individu yang pada mulanya baik, tetapi apabila sudah terkenal, dia mungkin melupakan kita. Dia pesan kepada saya supaya bersabar, terus melakukan kerja sendiri dan walau apa pun yang berlaku, sentiasa menghormati orang lain. Nasihat itu saya pegang dan amalkan sehingga sekarang.

Pernahkah Shahz sendiri berdepan dengan individu yang berubah selepas semakin popular?

Pernah. Saya sudah melalui pengalaman itu. Ada individu yang ketika mula berlakon dahulu menjadi pelakon pembantu, tetapi apabila kariernya semakin naik, pandang saya pun tidak.
Apabila bertemu di set yang sama, dia juga sudah tidak menegur. Memang ada dan saya sudah melalui semua perkara itu.
Tetapi bagi saya, biarkan sahaja. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menghormati kita. Rasa hormat bukan sesuatu yang boleh dituntut begitu sahaja, sebaliknya kita sendiri perlu mendapatkannya melalui cara kita membawa diri dan melayan orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN