Tolong bagi filem genre rom-com ruang dalam pawagam - Yusof Hashim - Utusan Malaysia

Tolong bagi filem genre rom-com ruang dalam pawagam – Yusof Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Yusof Hashim meluahkan rasa terkilan apabila terlalu banyak karya bergenre aksi terus diutamakan dalam pawagam berbanding genre komedi romantik (rom-com).

Yusof atau Mohd Yusof Hashim, 33, berkata, sistem tayangan kini lebih memberi tumpuan kepada karya adegan aksi yang dikatakan mendapat jaminan angka jualan yang lebih tinggi.

“Saya perasan, apabila kita sudah terlalu terbiasa dengan satu genre, penonton tidak diberi peluang untuk menonton genre lain. Macam mana penonton mahu menghargai kepelbagaian jika pawagam sendiri tidak mahu mengekalkan cerita tersebut?

“Sejak saya di zaman sekolah lagi, pawagam dipenuhi dengan lambakan cerita aksi serta pergaduhan yang disukai ramai. Pihak pengurusan pasaran terus fokus kepada genre itu kerana mereka tahu ia boleh dijual dengan mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelakon yang lebih dikenali dengan nama Ucop ini menjelaskan bahawa penonton memang akan menonton apa sahaja bentuk karya sekali pun, tetapi ketiadaan sokongan pawagam menyekat potensi filem bergere rom-com ini untuk berkembang.

“Filem rom-com ini bukan jenis yang boleh terus meletup dalam masa satu malam sahaja, tetapi sebenarnya mengambil masa. Penonton tetap penonton dan rakyat tetap rakyat. Apa yang disajikan dalam pasaran itulah yang akan mereka tonton.

“Saya meluahkan pendapat ini di Threads kerana ia adalah ruang bebas untuk semua orang. Terus-terang saya sangat kecewa dengan sistem pawagam sekarang dan bukannya kecewa dengan orang ramai.

“Luahan saya ini bukan bermakna mahu menyalahkan kualiti Kata Hati itu sendiri atau kerja keras pihak produksi yang terlibat. Malah, pihak produksi dan para pelakon juga sudah pulun habis-habisan melakukan aktiviti promosi demi memperkenalkan filem ini,” katanya.

Kekecewaan itu diluahkan oleh Ucop kerana ini merupakan pengalaman pertamanya memegang watak utama sebagai hero dalam filem rom-kom berjudul Kata Hati arahan Hamzah yang menemui penonton di pawagam baru-baru ini.

Untuk rekod, selain Yusof, filem Kata Hati karya Nadiah Hamzah ini dibintangi oleh barisan pelakon utama seperti Nia Atasha, Fazziq Muqris dan Scha Alyahya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN