Tidak menyesal berhenti berlakon, tetapi rindu – Mona Allen - Utusan Malaysia

Tidak menyesal berhenti berlakon, tetapi rindu – Mona Allen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di saat ramai artis mengejar populariti dan berusaha mempertahankan kedudukan yang telah dibina, pelakon, Mona Allen memilih jalan berbeza dengan membuat keputusan untuk berehat seketika dari industri tatkala namanya memuncak naik.

Katanya, dia kini sudah selesa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak, malah terasa ‘malas’ mahu mencari rentak untuk kembali aktif berkarya seperti suatu ketika dahulu.

Meskipun tidak lagi membintangi drama-drama di kaca televisyen, nama Mona tetap menjadi tumpuan umum apatah lagi kerana dia isteri kepada pengarah dan pelakon terkenal, Pekin Ibrahim.
Namun dalam keseronokan menjalani kehidupan yang tenang tambah pula sudah berhijrah mengenakan tudung, namanya tetap terpalit dengan kontroversi yang kurang enak untuk didengar. Oleh itu, Mona Jawablah!

Sudah lama berehat daripada dunia seni selepas melahirkan anak, pernahkah timbul rasa menyesal dengan keputusan itu?

Tidak. Mungkin sesetengah orang akan rasa menyesal, dan berfikir kenapalah keputusan itu dibuat. Tetapi saya tidak menyesal sebab saya sedang gembira dengan kehidupan sekarang.
Melihat anak-anak membesar, uruskan mereka dan suami di rumah pun okey, Alhamdulillah. Jadi, saya sangat positif. Tidaklah rasa menyesal, cuma kadang-kadang rasa rindu melihat rakan-rakan dalam industri masih dalam bidang yang sama buatkan saya rasa rindu.

Tetapi keputusan Mona untuk berehat daripada industri itu dibuat ketika nama Mona sedang berada di puncak. Tidakkah Mona rasa itu satu kerugian?

Tidak sama sekali. Saya sudah lama dalam industri. Sebagai pelakon pun sudah lama. Saya bermula dari bawah, jadi fokus utama saya bukan mahu kejar glamor atau populariti. Memang saya minat bidang ini. Jadi, tidak ada istilah rasa menyesal atau rugi.

Untuk mengambil keputusan berehat itu tentunya Mona sudah fikir masak-masak. Jadi, selain anak dan juga bisnes, apa yang mendorong Mona untuk berehat seketika?

Mungkin apabila saya lihat suami saya sudah stabil dari segi kewangan, saya tidak perlu sangat menyumbang kepada ekonomi keluarga. Itu yang mendorong saya untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan. Sebab ketika zaman populariti saya dulu, walaupun tidak begitu terkenal, saya selalu sibuk malah memang langsung tiada masa dengan keluarga. Setiap hari penggambaran. Balik rumah pun malam, kadang-kadang tidak sempat jumpa keluarga. Jadi saya fikir, okey, saya undur diri. Kemudian, biar suami saya ambil alih.

Pernah tak terdetik jika rasa mahu kembali berlakon itu membuak-membuak, namun keputusan itu mungkin sudah terlambat?

Buat masa sekarang, saya tidak rasa terlambat. Sebab, ramai sahaja artis yang membuat kemunculan semula. Malah ramai juga yang masih menunggu dan bertanya: “Bila Mona mahu berlakon semula?”Mereka juga pastu rindu juga mahu lihat saya berlakon. Jadi, saya tidak rasa terlambat sebab saya masih aktif dan orang masih mengenali saya melalui media sosial.

Sekiranya terbuka hati untuk kembali berlakon nanti, mungkin akan ada batasan tertentu?

Ya, salah satu perkara yang saya fikirkan adalah penghijrahan saya. Itu yang sedikit merisaukan juga. Dulu saya berlakon tanpa banyak batasan. saya boleh pegang sana sini. Perkara-perkara seperti itu biasa dilakukan dan tidak ada had yang saya tetapkan.
Tetapi sekarang kalau mahu kembali berlakon, saya perlu fikirkan bagaimana hendak berlakon dengan orang lain dan dalam masa sama menjaga batas-batas yang saya jaga sekarang.

Walaupun tenang menjalani kehidupan seperti orang biasa, nama Mona masih menjadi sebutan tambah pula baru-baru ini mengenai isu berhijab pula menjadi tumpuan. Bagaimana Mona mengendalikan perkara itu?

Perkara itu ada baik dan buruknya. Bagi orang yang suka populariti, mereka akan kata benda itu baik. Viral itu bagus. Tapi saya tidak boleh menolak hakikat bahawa suami saya pun orang kenal. Bukannya saya seorang sahaja dalam industri.
Jadi, macam mana pun, nama kami akan tetap dikaitkan. Jadi saya rasa ada baik dan buruknya. Soal isu hijab itu, perkara tersebut berlaku di luar kawalan saya. Saya pun kini memilih untuk lebih berhati-hati dalam menjaga aurat saya.

Bila sudah berkeluarga dan menjadi figura awam, kontroversi-kontroversi lama mungkin suatu hari nanti akan diketahui oleh anak-anak. Pernah tak rasa risau tentang impaknya nanti?

Sebagai ibu bapa, saya rasa kita perlu mendidik anak-anak untuk mengenali ibu bapa mereka sendiri. Saya tidak rasa kalau ada kontroversi atau cerita yang tidak baik, anak-anak akan terus percaya begitu sahaja tanpa mengenali ibu bapa mereka.
Kadang-kadang orang lain boleh menulis macam-macam. Jadi, saya rasa tanggungjawab kita sebagai ibu bapa adalah mengajar dan menerangkan perkara-perkara itu kepada anak-anak. Itulah yang paling penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN