Lapan tahun menempa nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi, Iman Troye meluahkan keinginannya untuk menceburi bidang lakonan secara serius.
Sedar dirinya ‘kosong’ dalam bidang tersebut, Iman atau Siti Nur Alyssa Sahabudin, sedia untuk mengikuti kelas lakonan terlebih dahulu sebelum terjun ke dunia tersebut.
“Saya ada perancangan untuk berlakon, tetapi saya tidak boleh terus berlakon bulat-bulat macam itu sahaja.
“Saya perlu hadiri kelas lakonan dan perlu belajar. Sewaktu saya mahu menyanyi pun saya belajar. Kita kena ada ilmu, mahu buat apa pun kita perlu ada ilmu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menyedari bahawa industri lakonan mempunyai lambakan bakat yang berpengalaman, Iman tidak mahu sekadar mencuba tanpa persediaan yang rapi sehingga mengundang kritikan daripada masyarakat.
“Bagi saya, nak berlakon ini bukan benda yang mudah sebab ramai orang dalam industri berlakon. Jadi kita tak boleh buat netizen marah, kita tidak boleh buat orang lain marah.
“Jadi sebelum orang marah saya, baik cikgu marah saya dulu. Untuk tahu sama ada saya boleh ke dalam industri berlakon atau tidak, saya perlu cuba dulu. Kalau saya memang tidak ada bakat untuk berlakon, memang saya akan menyanyi sajalah.
“Sebenarnya saya ada berlakon untuk drama Garnier di TV3. Tetapi saya tidak tahu orang suka atau tidak. Saya rasa sebab sekarang drama perlu ada banyak pengalaman, pandai bermain emosi dan jayakan sesebuah karakter,” jelasnya.

Sentuhan semula lagu Terasing
Dalam perkembangan lain, nama Iman Troye turut hangat menjadi sorotan selepas merakam semula lagu Terasing nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad dengan nafas baru.
Lebih segar dan menyentuh hati, Iman mendedahkan lagu itu pada awalnya dirakam secara spontan bersama penyanyi, Naim Daniel kerana terkenangkan arwah nenek tersayang.
“Sebenarnya prosesnya sangat spontan. Saya dan Naim bekerja seperti biasa di studio. Kami duduk di depan piano, merakam idea menggunakan telefon bimbit dan saya menulis lirik.
“Pada awalnya memang tidak berniat untuk mengeluarkan lagu itu secara rasmi. Ketika penggambaran video muzik, kami sekadar menyanyikan lagu tersebut secara santai.
“Semasa menyanyikan lagu itu, saya teringat kepada arwah nenek saya yang meninggal dunia dua tahun lalu. Jadi saya rasa seronok untuk menyanyikan semula lagu itu dan memuat naiknya ke media sosial,” katanya.
Iman bagaimanapun mengakui dirinya tidak menjangkakan sambutan luar biasa dari pendengar, malah menjadi punca rezeki untuk merakam semula lagu tersebut secara rasmi
“Tidak sangka pula mendapat sambutan yang sangat baik. Saya sendiri tidak menjangka akan diberikan rezeki untuk merakamkan semula lagu Terasing yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
“Saya berbesar hati dapat menyanyikan lagu itu kerana bagi saya, Terasing merupakan lagu yang sangat besar.
“Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya, siapalah saya untuk menyanyikan lagu tersebut. Namun Alhamdulillah, saya bersyukur dengan peluang itu,” ujarnya.










