ARTIS zaman ini hilang nilai eksklusiviti kerana wujudnya media sosial yang menjadi penghubung antara mereka dengan peminat.
Pada era sekarang jarang kita mendengar atau membaca berita berhubung artis diekori atau diserbu peminat disebabkan jurang penghubung antara keduanya semakin dekat.
Berbeza senarionya dengan artis zaman 80 dan 90-an yang dipandang tinggi dan lebih eksklusif kerana peminat hanya berpeluang menatap wajah mereka di surat khabar, majalah dan televisyen.
Disebabkan itu peminat sanggup membuat kerja gila demi artis kesayangan mereka.
Nurzul Suphi’an Sa’aban atau Zul Handy Black menyimpan banyak cerita mengenai kegilaan peminat sewaktu dia mula-mula bersama kumpulan Handy Black pada penghujung era 90-an dahulu.
Menurut beliau, peminat yang pengsan, menggelupur, mengekori dan tiba-tiba bertukar agresif pada saat melihat artis kesayangan mereka merupakan perkara biasa dan sering berlaku.
“Memang agak luar biasa respons peminat saat melihat artis di hadapan mereka. Ada yang mengambil kesempatan dengan meluru naik ke atas pentas sewaktu kami membuat persembahan.
“Lebih agresif lagi apabila ada peminat yang bertindak menarik kaki saya sehingga tercabut kasut di kaki sebelah kanan.
“Itu belum lagi kerenah pentaksub yang mengekori sampai ke rumah artis. Mereka gigih mencari tempat tinggal artis itu, menunggu depan pagar rumah hanya untuk melihat penyanyi atau pelakon kesayangan mereka. Perkara ini memang berlaku,” katanya baru-baru ini.

Lebih menarik adalah pengalaman zul bersama beberapa rakan artis tertinggal bas gara-gara diserbu peminat ketika membuat persembahan di Singapura ketika awal tahun 2000.
“Ketika itu, bas yang sepatutnya membawa saya , Tomok dan Aqasha serta beberapa artis lain berlalu meninggalkan kami disebabkan kehadiran peminat yang mengerumuni terlalu ramai ketika itu,” kongsinya.
Ujar Zul lagi, ketaksuban peminat pada zaman itu membuatkan banyak syarikat rakaman bertindak melantik pengawal peribadi kerana khuatir akan keselamatan artis mereka.

JENTIKAN DI KUBUR
Bercerita mengenai penghijrahannya, vokalis yang berasal dari Negeri Sembilan ini memaklumkan kehilangan ayahanda tersayang kira-kira 14 tahun lalu menjadi detik pemula kepada perubahan rohani.
Zul memaklumkan ketika arwah ayahnya diturunkan ke liang lahad, saat ituah terdetik fikiran tentang amal soleh dan bekalan ke akhirat.
“Sebelum itu berlaku kematian kenalan dan ahli keluarga terdekat tapi ia tidak benar-benar menginsafkan. Sehinggalah arwah ayah saya pergi 14 tahun lepas, ia benar-benar memberi kesan.
“Ketika memasukkan jenazahnya ke liang lahad, fikiran saya tiba-tiba terjentik mengenai bekalan akhirat yang sepatutnya saya bawa bila saya mati nanti. Sejak itu saya berubah menjadi lebih Islamik,” ceritanya.
Meskipun berubah ke arah kebaikan, Zul tidak meninggalkan dunia nyanyian dan bertekad untuk meneruskan aktiviti tersebut dan menjadikannya sebagai medan dakwah kepada masyarakat.
“Saya telah merujuk kepada ilmuwan agama tentang aktiviti nyanyian. Kata mereka tidak salah teruskan asalkan dalam nyanyian itu ada dakwah yang diselitkan. Kerana itu sampai sekarang saya masih menyanyi,” ujarnya.
Katanya, dakwah yang terbaik adalah yang mengajak ke arah kebaikan tanpa mengungkit cerita silam seseorang dan pendekatan itu digunakan untuk mengajak rakan dan keluarga kepada Agama.
“Alhamdulillah sepanjang berdakwah tiada rakan-rakan yang menjauhkan diri malah hubungan kami menjadi lebih akrab. Dakwah yang penuh hikmah akan membuatkan orang dekat dengan kita,” jawabnya.

HANDY BLACK TIADA PERANCANGAN BERSATU
Disoal mengenai hubungan dengan anggota Handy Black yang lain, Zul berkata, mereka masih baik dan kekal berhubung sehingga sekarang. Namun, kesibukan dengan kehidupan masing-masing dengan adanya menjalankan perniagaan sendiri membuatkan mereka sukar untuk bersatu semula.
“Bukan mudah untuk kembali bersama, dalam keadaan pemintaan kumpulan Rock yang semakin berkurangan. Mungkin nama-nama besar seperti Wings, XPDC, Search dan Barbarik masih mempunyai pengikut ramai, tetapi tidak kami.
“Jika bersatu pun, kehadiran kami sebolehnya memberi impak. Contoh, kalau ada lagu baharu, biarlah ia menjadi naskhah yang bagus dan malar segar.
“Tetapi nampaknya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang sekarang ini, hasrat itu sukar.
“Kalaupun ada lagu baharu, biarlah memberi impak dan mencuri perhatian pendengar. Kami pun tidaklah berhasrat untuk mengeluarkan lagu yang bersifat ‘asal buat’,” katanya.
Jelasnya lagi, dia bersyukur kerana Allah lorongkan rezeki menyanyi dengan lagu-lagu lama yang sehingga ke hari ini masih menjadi siulan peminat.
“Sambutan terhadap lagu-lagu lama kami masih rancak, nampaknya masyarakat masih menghargai karya-karya laman. Saya bersyukur kerana dengan lagu-lagu seperti Kau Yang Bernama Seri kekal menjadi siulan sampai sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zul berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kumpulan As Salam Buskers yang ditubuhkannya.
“Buat sementara waktu ini biarlah saya bergerak solo atau bersama mereka. Saya pun seronok kerana persembahan busking mendekatkan saya kepada peminat,” jelasnya.
TERSINGKIR GV ATAS PERMINTAAN SENDIRI
Berkongsi tentang penglibatan bersama Gegar Vaganza pada 2015, penyanyi bersuara nyaring ini memaklumkan tidak pernah berduka cita kerana tersingkir di minggu ketiga di program tersebut adalah atas kehendak sendiri.
“Adalah ura-ura yang mengatakan saya ini antara peserta favourite penganjur dan pernah juga mendengar akan dikekalkan sehingga ke peringkat akhir. Saya merasakan perkara itu tidak adil dan risau tidak berlaku jujur kepada penonton.
“Jadi, pada minggu ketiga Gegar Vaganza saya minta nama saya disingkirkan bersama Ezyleen. Bukanlah saya menyalahkan pihak penganjur ketika itu, cuma saya tidak sanggup menjalani kehidupan dalam kepura-puraan,” ujarnya.










