Membesar di flat bentuk kehidupan saya hari ini - Syafiq Kyle - Utusan Malaysia

Membesar di flat bentuk kehidupan saya hari ini – Syafiq Kyle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan membesar di flat atau rumah pangsa sering kali dikaitkan dengan pelbagai persepsi masyarakat apatah lagi dianggap simbol kesusahan, dan ukuran terhadap masa depan seseorang.

Namun, bagi pelakon popular, Syafiq Kyle, latar belakang membesar dalam komuniti itu bukan sesuatu yang mahu disembunyikan, sebaliknya menjadi pengalaman hidup yang membentuk siapa dirinya hari ini.

Kata Syafiq, membesar dalam persekitaran masyarakat biasa membuat dirinya berasa dekat dengan realiti kehidupan golongan pertengahan serta berpendapatan rendah.

“Saya membesar di flat dan dalam persekitaran masyarakat biasa selama 20 tahun. Kalau sekarang orang kategorikan sebagai B40, mungkin begitulah suasananya.

“Saya membesar di Cheras. Bila duduk di Kuala Lumpur, kita boleh nampak macam-macam lapisan kehidupan. Pergi sedikit ke satu kawasan, kita nampak kehidupan lain. Pergi tempat lain, suasananya berubah pula,” katanya.

Bakal membawakan watak yang sinonim dengan kehidupan lampaunya menerusi filem HAK: Tuntut atau Tunduk, Syafiq menganggap membesar di ibu kota membuka ruang untuk seseorang membuat pilihan sendiri dalam menentu kejayaan hidup.

“Saya rasa apabila membesar di Kuala Lumpur, kita terdedah dengan macam-macam perkara baik atau buruk. Pada masa sama, kita ada peluang untuk belajar dan membuat keputusan sendiri.

“Saya bersyukur sebab ibu bapa beri pendidikan dan didikan yang cukup untuk saya buat pilihan dalam hidup.

“Membesar di kawasan pinggir bandar dan flat menjadi salah satu pengalaman yang membentuk siapa diri saya hari ini,” katanya.

Tempat tinggal bukan sandaran kejayaan

Dalam masa sama, pelakon berusia 34 tahun itu berpendapat masyarakat tidak seharusnya terlalu cepat menghakimi kejayaan hidup seseorang hanya berdasarkan tempat mereka dibesarkan.

Katanya, kejayaan atau kegagalan seseorang tidak bergantung kepada lokasi atau latar belakang semata-mata seseorang itu dibesarkan, sebaliknya pilihan hidup yang dibuat.

“Saya tak rasa kita boleh menyalahkan tempat kita membesar sepenuhnya. Kalau saya kekal dalam kesusahan atau memilih jalan tertentu, itu juga keputusan saya sendiri. 

“Kita tak boleh terus menyalahkan persekitaran. Tempat tinggal bukanlah sandaran kejayaan hidup seseorang. Mungkin kehidupan yang saya jalani hari ini adalah doa saya dahulu.

“Dalam al-Quran pun menyatakan kita diajar untuk berusaha keluar daripada kesusahan. Tidak pula menyatakan kita perlu menghina tempat tinggal itu,” katanya.

Tambah Syafiq, stigma sedemikian juga bukan tiket untuk seseorang itu menilai taraf kehidupan dan kejayaan individu lain. 

“Ada kawan-kawan saya yang masih tinggal di tempat sama dan mereka berjaya. Ada keluarga besar, ada kehidupan yang mereka pilih. Semua orang ada impian masing-masing. 

“Mungkin doa mereka tidak sama dengan saya, tetapi mereka tetap dapat kebahagiaan dengan cara mereka sendiri. Kita tak boleh jadikan tempat kita membesar sebagai ukuran mutlak kejayaan seseorang.

“Yang penting adalah usaha untuk keluar daripada kesusahan kalau kita mahu berubah, tetapi itu bukan alasan untuk kita menilai atau menghukum orang lain,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN