Marissa Dania, Aslam kini sah bukan lagi suami isteri

Marissa Dania, Aslam kini sah bukan lagi suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial kontroversi, Marissa Dania Hakim, 21, dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid,27, disahkan bukan lagi suami isteri selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini memutuskan talak antara pasangan berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Nadiah Khamis, dalam prosiding yang berlangsung di mahkamah berkenaan.

Peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, berkata keputusan mahkamah secara ringkasnya mengesahkan bahawa kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai hubungan sebagai suami isteri.

“Pada hari ini, hakim memutuskan terjatuhnya talak. Walaupun terdapat beberapa terma dalam keputusan mahkamah, kesimpulannya ialah Aslam dan Marissa bukan lagi suami isteri.

“Buat masa ini, tiada lagi hubungan suami isteri antara mereka.

”Sekiranya mahu kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, mereka perlu melalui akad nikah yang baharu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding lafaz cerai dan rujuk di perkarangan mahkamah, hari ini.

Mengulas reaksi Marissa selepas keputusan itu diumumkan, Muhammad Ammar berkata anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu dilihat menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka.

Beliau turut memaklumkan tiada insiden bersalaman atau bermaafan berlaku antara kedua-dua pihak di dalam dewan bicara selepas keputusan dibuat.

“Mungkin mereka reda dengan keputusan hari ini. Sejak awal lagi saya sudah menasihatkan pasangan ini supaya bersedia menerima apa juga keputusan yang diputuskan mahkamah.

“Dalam mengendalikan kes ini, perkara yang diutamakan ialah pematuhan terhadap undang-undang serta hukum syarak. Apabila mereka mematuhinya, mereka akan lebih mudah menerima dan reda dengan keputusan yang dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Ammar dilaporkan berkata anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, Aslam telah melafazkan cerai dan rujuk terhadap Marissa sebanyak dua kali. Lafaz cerai pertama dibuat pada September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan yang sama.

Beliau berkata, Aslam kemudian melafazkan cerai kali kedua pada April tahun lalu dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk dua bulan selepas itu.

Namun, susulan prosiding pengesahan yang berlangsung hari ini, mahkamah memutuskan mereka tidak lagi terikat sebagai suami isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN