Mahu lindungi keselamatan bayi, saya tidak untung pun dengan SOP ini - Khairul Aming - Utusan Malaysia

Mahu lindungi keselamatan bayi, saya tidak untung pun dengan SOP ini – Khairul Aming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cakna akan keselamatan serta keselesaan bayi, pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming tampil melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) di restoran miliknya, Rembayung selepas mengambil kira beberapa faktor.

Menurut Khairul atau mesra disapa sebagai KA, keputusan tersebut dibuat berdasarkan beberapa insiden serta pengalaman yang tidak didedahkan kepada umum sepanjang tempoh premis itu beroperasi.

“Saya buat SOP ini sebab mahu lindungi keselamatan bayi dan kanak-kanak selepas apa yang pernah berlaku di Rembayung sepanjang enam bulan kita berniaga.

“Saya tidak untung pun dengan SOP ini. Cuba bayangkan kalau ada 30 hingga 50 bayi di Rembayung setiap hari, saya sebenarnya kehilangan peluang jualan daripada pelanggan dewasa kerana bayi bukan pelanggan yang makan.

“Saya rugi ribuan ringgit sebenarnya, tetapi saya tetap buat SOP ini sebab mahu jaga keselamatan bayi dan kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Mengakui sebelum ini tidak mengira bayi termasuk dalam jumlah pelanggan, KA menyifatkan terma tersebut juga bertujuan memudahkan pergerakan aliran kerja staf dan pelanggan lebih-lebih lagi yang hadir bersama kereta sorong.

“Sebelum ini memang kita tidak kira bayi, tetapi realitinya ramai ibu bapa datang ke Rembayung dengan membawa kereta sorong bayi. Bila jumlahnya semakin ramai, timbul persoalan di mana mahu meletakkan kereta sorong itu.

“Bayangkan jika kereta sorong diletakkan di tepi meja dan pada masa sama kakitangan membawa lauk panas ke meja pelanggan. Jika berlaku tumpahan ke atas bayi atau kereta sorong, isu keselamatan boleh timbul.

“Mungkin ada yang melihat saya sebagai kejam atau tidak berempati, tetapi saya perlu menguruskan kira-kira 1,000 pelanggan setiap hari. Tanpa SOP yang jelas, isu keselamatan akan menjadi lebih sukar dikawal,” jelasnya.

Dalam masa sama, pempengaruh itu menegaskan pihak restoran perlu berlaku adil kepada semua pelanggan dan tidak boleh memberikan pengecualian kepada mana-mana individu.

“Kalau saya benarkan satu keluarga mendapat pengecualian, pelanggan lain akan mempersoalkan kenapa anak mereka perlu dikira dalam bilangan yang hadir sedangkan keluarga lain tidak.

“Dalam keadaan sekarang, apa sahaja yang berlaku di Rembayung mudah dirakam dan dikongsikan di media sosial. Sebab itu SOP perlu dilaksanakan secara konsisten supaya semua pelanggan menerima layanan yang sama,” katanya.

Sementara itu, KA memohon maaf sekiranya pelaksanaan SOP itu menimbulkan rasa kurang selesa terhadap segelintir pelanggan, selain berharap orang ramai dapat memahami tujuan tindakan itu diambil.

“Saya bukan buat peraturan sebarangan. Setiap peraturan yang dibuat ada sebabnya dan saya mahu melindungi bayi serta memastikan ibu bapa dapat menikmati pengalaman menjamu selera dengan tenang.

“Saya mohon maaf jika ada pelanggan yang berasa kurang selesa untuk datang ke Rembayung. Doakan supaya kami terus menambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan semua pelanggan berasa selesa,” ujarnya.

Terdahulu, seorang individu meluahkan rasa terkilan terhadap SOP restoran tersebut yang turut mengira bayi sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN