Sekali pandang, kecil sahaja orangnya. Namun, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa pelakon, Syad Mutalib, menyimpan satu impian yang agak ‘ngeri’. Mana tidaknya, selepas sering diberikan watak air mata, Syad mengakui dirinya teringin mencuba sesuatu yang berbeza.
Tidak mahu terus dilabel sebagai pelakon yang hanya mampu bermain dengan air mata, Syad atau Syadiyatul Qistina Abdul Mutalib kini sedia memburu karakter gelap untuk membuktikan bakat lakonannya. Syad mengakui dia mahu melebarkan sayap ke layar perak menerusi karya bergenre seram dan watak ‘wanita penyondol’.
“Sepanjang penggambaran drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga, saya sempat meluahkan impian saya kepada Kak Nad (Nadiya Nisaa) untuk membintangi naskhah seram. Saya benar-benar teringin dan tidak kisah sama ada perlu menggalas watak mangsa rasukan atau sebagai entiti yang merasuki orang lain.
“Saya juga teringin sangat mahu meneroka perkara baharu dan sekiranya ada tawaran untuk watak penyondol pun, saya rasa tiada masalah. Asalkan watak tersebut tidak terlalu daring dan masih bersesuaian dengan imej saya, saya sedia untuk mencuba nasib.
“Sebagai seorang pelakon, saya rasa karakter sebegitu adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan untuk kita cuba mainkan di set penggambaran,” katanya.
Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, pelakon yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga ini melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami kerjayanya.
Walaupun tiada sebarang sekatan diletakkan oleh pasangannya itu, Syad sentiasa meletakkan sempadan dalam lakonan demi menjaga batasnya sebagai seorang Muslimah.
“Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin berjalan sangat baik. Suami juga sangat memahami bidang kerjaya yang saya ceburi ini dan dia menganggap pekerjaan saya sebagai satu tugas yang profesional.
“Suami tahu isteri dia bagaimana dan walaupun dia tidak meletakkan sebarang had, saya sendiri sebagai individu yang bertudung tahu sempadan setakat mana. Malah, saya rasa penonton dan pihak penerbit zaman sekarang juga sudah semakin faham dengan batas yang perlu dijaga oleh seseorang pelakon yang berhijab,” ujarnya.

Menyentuh mengenai persaingan dalam industri seni selepas bergelar isteri, Syad mengakui pernah berasa bimbang mengenai kekurangan tawaran kerja berbanding pelakon yang masih bujang.
Bagaimanapun, pemikiran tersebut berubah selepas dia mendapat nasihat daripada rakan industrinya.
“Sebelum saya berkahwin dahulu, orang memang pernah bercakap tentang perkara ini sehingga saya berasa sangat takut dan terfikir sama ada perkara itu betul atau tidak.
“Tetapi, ada seorang kawan saya yang pernah berpesan kepada saya bahawa apa-apa pun yang terjadi, rezeki itu tetap luas dan sentiasa ada di mana-mana.
“Saya hormat dari sudut perniagaan stesen televisyen atau penerbit yang mungkin mempunyai senarai artis tersendiri. Namun, saya percaya rezeki saya tidak pernah salah alamat,” katanya.
Dalam pada itu, demi memastikan mutu lakonannya sentiasa berada pada tahap terbaik, Syad mendedahkan dia sering menghadiri kelas lakonan bimbingan bersama Erma Fatima bagi mengasah bakatnya dan menjadikan Nadiya Nisaa sebagai contoh.
“Saya banyak belajar ilmu baharu dan saya juga hadir ke kelas Erma Fatima sama macam Kak Nad. Walaupun orang ramai sudah tahu betapa bagusnya hasil kerja Kak Nad, dia tetap akan sentiasa cuba memperbaiki diri dan sangat tidak kedekut ilmu sewaktu di set penggambaran.
“Malah abang Aaron Aziz juga seorang pelakon yang sangat membantu dan sentiasa memastikan saya berada dalam keadaan selamat serta selesa sewaktu menjayakan babak-bahak yang berat,” tambahnya.
Mengenai sasaran masa hadapannya, Syad meletakkan impian untuk membintangi sebuah filem hebat satu hari nanti. Namun, dia enggan terburu-buru dan memilih untuk menikmati setiap proses pembelajaran dengan menggalas apa sahaja watak yang diberikan kepadanya dengan penuh tanggungjawab.










