DALAM samar-samar ingatan di kampung, saya masih ada memori mengunjungi sebuah rumah dengan atap lompong di tengah, dibiarkan terbuka sambil berlatarkan bacaan Yassin kuat dan lantang serta ramai orang berziarah.
Masih kecil untuk mengerti keanehan itu, tapi cukup arif merasakan perkara seperti itu tidak wajar saya tanyakan segera. Saya menunda semua persoalan itu, lagi pula tidak sopan bercerita cara pemergian seseorang berbanding mengenang budinya semasa hayat masih ada.
Khadam, filem arahan Shamyl Othman dengan skrip cemerlang tulisan Fariza Azlina Isahak menghadapkan saya kembali kepada pertanyaan masa kecil, tentang hal-hal pusaka, yang tidak nampak di mata juga tidak mudah dicerna fakta. Tapi kita tahu ‘ia’ ada, bergerak dan menyentuh deria.
Filem dibuka dengan Melor, mendayung sampan membelah muara ke pelantar disambut wajah separa lega-resah anak-anak, Hitam dan Puteh. Berita baik, Melor, ibu mereka selamat tiba di kala senja. Berita buruk, tidak ada yang akan datang membantu nenek sakarat di hujung nyawa.

Khadam nenek sudah memunculkan diri, menahan nyawa selagi Melor tidak melafazkan akad menjadi ‘tuan’. Tapi Melor bisu, semacam petanda dia memang bukan paling layak mewarisi pendamping. Atap ditebuk, petanda perjanjian lama antara manusia dan ‘ia’ perlu putus sekarang juga. Emak Melor perlu berangkat ke alam berbeza.
Melor hanya sempat menangis, meratapi gundah kehilangan ibu di atas sampan semasa mahu mengutus khabar kepada Manis. Selebihnya, seluruh masa dihabiskan menghadapi cemas kerana pusaka peliharaan emak menjelma ancaman, rumah sepatutnya tempat paling selamat Hitam Puteh bermain kejar-kejar bertukar bahaya, mereka diperhatikan.
Khadam bijak memasang helah membuat Melor terdesak menjadi tuan. Berkali-kali menebuk telur di atas ancak, sekali lagi, memang petanda Melor tidak berbakat sebagai pendamping. Sesuai perjanjian dahulu kala, Khadam menjadi pembantu, menumpas babi, menyubur kebun, membuat Melor disayang suami. Tapi bahagia sebagai tuan dirasai sementara sebelum perlahan-lahan menjadi bisa. Perlahan-lahan bertukar hamba.

Ayat ‘cukuplah Allah sebagai pelindung’ diulang-ulang Manis mencetuskan amarah Khadam. Ditambah gesaan gadis itu yang meyakinkan Melor bahawa dia perlu keluar meninggalkan rumah, melupakan tanah pusaka. Bagi Manis, tinggal tidak bermakna apa-apa jika diselubung cemas dan takut. Anak-anak perlu bergaul, melihat dunia lebih besar daripada kubur keluarga, penampang, ancak dan busut sembahan keluarga.
Khadam tahu, Manis perlu ‘habis’ dulu. Dia menguasai Melor, satu-satu yang pernah disayang berakhir di atas tanah pusaka, seolah-olah itu harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan warisan emak dan Khadam yang pernah disebut Melor sebagai ‘keluarga’.
Dalam ratapan dan jeritan Puteh ‘emak boleh minta tolong!’ menggegar waras Melor di atas kuburan. Memang, rasa terdesak membuat Melor tersilap memohon pertolongan. Tapi ada kesilapan yang boleh ditebus.

Sebelum ancaman lebih kuat datang, Melor menghantar anak-anak ke atas sampan, menyerahkan semua harta yang pernah ditatang agar anak-anak dapat menghidupkan nasib mereka sendiri di masa depan. Melor gagal sebagai isteri, anak dan kakak. Tapi tidak sebagai ibu.
Melepaskan pelukan hangat Puteh dan Hitam adalah puncak kasih sayang seorang ibu, menebus kesilapan di atas pilihan-pilihan sembrono yang pernah dilakukan. Menghentikan kitaran bahaya atas nama ‘pusaka keluarga’ dan memerdekakan anak-anak dari rasa takut yang panjang adalah juang paling lantang.
Khadam tidak menempel seram dengan ‘jumpscare’ murahan, tapi menanam rasa tidak selesa, cemas pada cerita, kesuraman rumah, keanehan ancang dan busut, bahasa lakon yang membuat kita terasa diperhatikan. Macam ada yang merayap pada kulit dan mencengkap deria menjadikan Khadam antara filem seram terbaik yang pernah dihasilkan pembikin filem Malaysia sehingga kini.










