Khadam: Ada yang kena ganggu - Utusan Malaysia

Khadam: Ada yang kena ganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM seminggu filem Khadam ditayangkan, naskhah arahan Shamyl Othman itu terus menerima respons baik daripada penonton sekali gus menjadi naskhah yang banyak dibincangkan mengenepikan deretan naskhah Hollywood sedang beratur di panggung.

Tidak hanya garapannya yang kemas, malah para pelakonnya turut menerima pujian apabila menyajikan pembinaan dan penghayatan karakter yang cukup mengesankan.

Pelakon, Siti Khadijah Halim bersyukur kerana bukan sahaja impiannya untuk berlakon dalam naskhah seram tercapai, malah filem tersebut turut disebut sebagai antara filem Malaysia terbaik tahu ini oleh para pengkritik.

Bercerita mengenai keadaan di set di Gopeng, Perak, dia mengakui tidak terlepas daripada merasai sendiri pengalaman melihat kru diganggu entiti ketika penggambaran. Apalagi kawasan tersebut asalnya adalah hutan tebal yang dibersihkan.

“Memang ada pengalaman seram, tapi Alhamdulillah ia sekadar gangguan ‘manja-manja’ sahaja. Tidaklah sampai mereka menunjukkan rupa yang menakutkan atau menyentuh fizikal kami.

“Cuma ada individu di set yang terkena gangguan. Keadaan menjadi agak cemas seketika, namun pihak produksi bertindak pantas dengan membawa keluar individu tersebut dari kawasan berkenaan untuk ‘rawatan’ lanjut,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menariknya, rumah yang menjadi latar utama filem ini bukanlah rumah asal di situ, melainkan sebuah replika rumah lama yang dibawa khas dari Pahang dan dipasang semula di tengah rimba Gopeng.

“Apabila kita berlatih berlakon di kawasan lapang, rasanya biasa sahaja. 

“Tetapi apabila masuk ke dalam rumah tersebut yang terletak di tengah hutan, auranya terus berubah. Perasaan itu sangat berbeza,” katanya.

Guna parang betul 

Bagi memastikan visual yang lebih realistik, pihak produksi menggunakan parang sebenar yang sempat membuatkan pelakon itu berdebar.

“Kami tidak mahu nampak palsu di layar perak. Berat hayunan parang sebenar dengan parang plastik sangat berbeza. Jadi, saya nekad menggunakan parang betul demi impak realistik.

“Cuma sempat juga berdebar sebab parang itu ada terkena kaki saya tapi mujur tak jadi apa-apa. Pihak produksi juga sangat menjaga kebajikan dan keselamatan kami di set,” tambahnya.

Selain faktor teknikal, pengalaman bekerja di samping bintang seberang, Aghniny Haque, turut menjadi memori indah buat pelakon ini. Walaupun sebaya, Siti mengakui banyak belajar daripada kematangan lakonan Aghniny.

“Nini (Aghniny) seorang yang sangat hebat. Walaupun ada masanya dia tidak berdialog, namun pancaran matanya sudah cukup untuk menyampaikan rasa yang terbuku di hati wataknya.

“Kadang-kadang saya tak boleh baca apa yang dia nak, tapi alhamdulillah kami serasi. Hubungan kami juga rapat sehingga ke hari ini dan kami masih mengikuti perkembangan masing-masing di media sosial,” ceritanya.

Khadam menceritakan tentang seorang Wanita bernama Melor yang bisu terpaksa memohon pertolongan khadam atau saka keluarga untuk menjaga rumah dan keluarganya. 

Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin sulit apabila Khadam yang sepatutnya menjaganya tiba-tiba mahu bertukar menjadi tuan.

Selain Siti Khadijah, turut sama menjayakan naskhah seram itu ialah Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak dan Jun Lojong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN