KUALA LUMPUR: Ekoran kenyataan menerusi wakil peguamnya baru-baru ini, pelakon, Fattah Amin memaklumkan tindakan tersebut dibuat bagi mengelakkan salah faham susulan dakwaan mengenai kes memukul pembantu rumah.
Menurut Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 36, kenyataan tersebut dimuat naik kerana mendapati terdapat beberapa pihak yang kurang jelas dengan situasi sebenar sehingga namanya turut terpalit.
“Sebenarnya peguam kami telah pun keluarkan kenyataan baru-baru ini. Jadi saya tidak bercadang untuk ulas lebih lanjut kerana enggan mencetuskan lagi kekeliruan.
“Kami sebenarnya tidak sangka isu itu boleh jadi tular. Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar.
“Jadi, kami keluarkan kenyataan itu bagi memberi penjelasan bahawa saya tiada kena-mengena dengan isu yang tular berkenaan,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui di acara Picklebash 2.0 di sini, petang tadi.
Tambah Fattah, dia enggan mengulas isu tersebut dengan lebih lanjut memandangkan isu tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya.
Sabtu lalu, tular sebuah video memaparkan insiden membabitkan empat individu melakukan keganasan fizikal terhadap seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Susulan penularan video itu, terdapat segelintir netizen membuat perkongsian berbaur fitnah dengan mengaitkan Fattah dan Amira.
Tidak berdiam diri, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan insiden diperkatakan netizen.
Dalam kenyataan tersebut menegaskan Fattah dan Amira bukan individu dalam klip video itu serta tidak terlibat dengan insiden keganasan yang berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.










