Jika ada perselisihan, semua atas dasar kerja - Azmi Saat - Utusan Malaysia

Jika ada perselisihan, semua atas dasar kerja – Azmi Saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSELISIHAN dalaman Caliph Buskers terlerai apabila bekas ahlinya, Fendi Adlun menoktahkan persengketaan. Meskipun tidak bersengketa atau bermasam muka, Fendi tetap memutuskan untuk buat masa ini tidak menganggotai Caliph Buskers secara rasmi namun tidak bermasalah untuk bergabung jika diperlukan.

Bagi vokalis kumpulan itu iaitu Khairul Azmi Mohd. Saat atau Azmi, tiada istilah bermasam muka antara ahli band itu dengan Fendi. Segala percanggahan atas dasar kerja tanpa ada dendam dan amarah. Ikuti temu ramah bersama Azmi untuk mengetahui cerita sebenar.

Apa kesudahan hubungan dengan Fendi? Sudah berdamai atau masih bermasam muka?

Saya kenal Fendi sebelum Caliph Buskers ditubuhkan. Kami lama berkawan, kemudian bermain muzik bersama-sama dan mengasaskan sebuah kumpulan.
Jika berlaku perselisihan antara kami, ianya terjadi atas dasar kerja, tidak membabitkan hubungan personal. Ia sekadar perselisihan pandangan dan percanggahan kehendak. Itu sahaja. Jadi bila tiba masanya untuk kami berbaik semula, perkara itu menjadi mudah.

Adakah Fendi akan menyertai semula Caliph Buskers?

Fendi tidak secara rasmi bermain untuk Caliph Buskers. Cuma jika ada projek, kami akan panggil dia. Mungkin single Caliph Buskers selepas ini akan melibatkan dia.
Tapi jika keinginan menyertai kumpulan itu datang daripada dia, bagaimana?
Memang ada terfikir ke arah itu. Tetapi buat masa sekarang, belum lagi. Caliph Buskers pun belum kukuh. Malah kami tidak ada pengurus. Rakam lagu pun atas inisiatif sendiri. Mungkin apabila kami betul-betul kukuh dan faham selok belok industri, kami akan pelawa dia bersama.

Bagaimana pula dengan projek solo anda, apa kata ahli kumpulan lain mengenainya?

Sebenarnya, saya tidaklah menumpukan kepada projek solo semata-mata kerana pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, Caliph Buskers telah menerbitkan sebuah single bertajuk Damai Raya. Fendi juga bermain muzik bersama kami untuk lagu itu.
Saya, apa pun akan maklumkan lebih awal kepada ahli kumpulan jika saya terlibat dengan projek lain supaya mereka boleh kosongkan jadual bagi mengelak pertindihan.
Kami sesama ahli, saling bertolak ansur. Contoh beri enam bulan untuk projek solo, enam bulan selebihnya untuk Caliph Buskers.
Saya menjadi penggerak kepada kumpulan ini. Kalau saya sibuk dengan projek lain, ahli yang lain tidak tahu berbuat apa. Apa pun, mereka masih memberi untuk projek solo saya.

Pernah terfikir untuk bergerak solo sepenuhnya?
Saya ini jiwa memang ke arah berkumpulan. Jadi untuk saya seratus peratus bergerak solo mungkin tidak.
Orang cacat penglihatan kalau bermain muzik, lebih baik secara berkumpulan kerana disitulah terletaknya kekuatan kami. Hendak mendapatkan keserasian sesama ahli, lebih-lebih lagi dalam bermain muzik bukan perkara mudah.Berbeza dengan orang normal yang boleh ‘bermain mata’ sebagai isyarat sesama ahli ketika membuat persembahan. Kami pula memang seratus peratus bermain muzik berpandukan naluri. Hampir setiap masa, dengan sekadar mendengar satu atau dua nota lagu sahaja cukup untuk kami meneka lagu apa yang ingin dimainkan. Keserasian itu, bagi kami yang cacat penglihatan ini, penting. Bermain dalam kumpulan bagi saya ada kekuatannya.

Bagaimana pula dengan lagu baharu Caliph Buskers?

Kami sudah rekod satu lagu baharu, sekarang sedang menunggu untuk melakukan ‘mixing’ dan ‘mastering’. Mungkin dalam beberapa bulan lagi akan dikeluarkan, menunggu waktu yang sesuai dan memberi ruang untuk lagu Satu dahulu dipasarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN