HANYA dengan satu hantaran di media sosial, pelakon, Fify Azmi bagai melepaskan bom jangka mendedahkan dirinya dikhianati dan dicurangi oleh kekasihnya bernama NZ. Fify hanya berkongsi beberapa tangkap layar berupa perbualan manja-mesra tanpa mendedahkan nama mana-mana individu terlibat walaupun warga maya berteka-teki siapakah gerangan NZ yang dimaksudkan.
Namun, seperti kata pepatah siapa makan cili terasa pedas, orang ketiga dalam percintaan mereka sendiri yang tampil mengesahkan bahawa dia adalah individu yang diperkatakan, malah turut memetik nama pelakon, Niezam Zaidi dalam drama pengkhianatan ini.
Lebih sadis, berita kecurangan terlondeh semasa hari ulang tahun kelahirannya. Momen yang patut dirayakan dengan gembira berakhir air mata.
Fify berdiam diri ketika dihubungi pertama kali, selang dua minggu, pelakon itu menghubungi Pancaindera bersedia bercerita. Katanya, temu ramah ini akan menjadi yang pertama dan terakhir mengenai hubungan cintanya selama tiga tahun yang tidak sampai ke garisan penamat.
“Betul, saya tahu semua ini semasa hari jadi April lalu. Bila hari jadi, mestilah saya berharap, tunggu kalau dia nak buat kejutan atau ajak berjumpa walau sepatutnya saya ada sesi pickleball malam itu.
“Tapi tiada apa-apa. Cuma dapat ucapan sahaja, itupun menerusi Instagram close friend yang mungkin hanya ada saya seorang di situ.
“Tapi saya tak nafikan, dia ada kirim coklat di tempat pickleball. Entahlah, saya lebih hargai kalau ucap di depan muka, tanpa hadiah pun tak apa,” katanya yang semakin susut berat badan akibat hilang selera makan.
Siapa sangka, kejutan yang sebenar tiba tiga hari selepas itu. Ketika Niezam ajak berjumpa untuk meraikan hari lahir, di situ jugalah pelakon Wira itu ternampak mesej tidak manis dibaca antara
Niezam dengan seorang perempuan asal Singapura. Fify menggelarnya ‘perempuan itu’ sepanjang temu ramah, tidak sudi menyebut namanya.
“Bila sudah kantoi, dia mula minta maaf. Lagipun tak guna nak nafi sebab saya sudah tahu. Memang hati saya hancur, tapi saya cakap baik-baik, saya mahu pulang dan bersendirian cuma saya mahu dia cerita apa yang sebenarnya terjadi antara dia dan perempuan itu.
“Bila sudah balik, saya hubungi perempuan itu pula, sengaja pujuk cakap baik-baik supaya perempuan itu cerita apa sebenarnya jadi antara dia dan Niezam. Rupanya, dua-dua versi tak sama.
“Versi yang perempuan itu cerita di media sosial sebelum itu pun tak sama dengan apa dicerita pada saya. Tiada ada ‘kawan lain’, Niezam bukan baru pindah rumah dan kecurangan ini terjadi beberapa kali.
“Saya menangis siang malam. Tapi saya tunjuk macam okay sahaja. Kalau ikut hati waktu itu juga saya nak cakap cuma bahaya sebab tidak bertapis. Sebab itu, saya pendam, ambil masa. Cuma saya kata Niezam, kita tak patut teruskan perhubungan ini,” katanya dengan nafas tersekat-sekat, air mata Fify semakin deras jatuh ketika bercerita.

Cuma cari keadilan untuk saya
Fify tahu, ada pihak menuduhnya sengaja menjatuhkan Niezam seolah-olah menjadi dia yang berhadapan sebuah pengkhianatan bukanlah mangsa sebenar.
“Orang tuduh saya cuba hendak jatuhkan Niezam. Itu bukan niat saya, saya cuma mahu beri kesedaran supaya tiada perempuan lain jadi mangsa.
“Itu juga untuk keadilan buat saya, jangan nanti orang salahkan saya punca masalah hanya sebab dia nampak lebih baik.
“Entahlah bila teringat balik, macam ada benda yang menyucuk dada, sakit. Sampai hati dia. Sampai hati mereka buat saya begini,” air matanya mengalir lagi.
Selepas pendedahan di media sosial itu, Fify berhadapan kebenaran yang lebih pahit apabila menerima mesej daripada para wanita baik yang terkenal atau tidak mendedahkan bahawa Niezam mengaku dirinya ‘single’ dan pernah cuba mengurat mereka.
“Kami pernah merajuk, atau bergaduh tapi tak pernah betul-betul ‘putus’. Kami masih bercinta. Kenapa dia mengaku ‘single’?
“Semua bukti itu saya simpan dalam folder khas telefon bimbit, ada banyak screenshot, gambar juga ada. Cuma saya tidak akan buka aib dia, saya tidak akan dedahkan.
“Saya simpan untuk tujuan perlindungan dan keselamatan. Kalau apa-apa jadi, saya sudah ada bukti. Cuma saya sudah sekat dia di media sosial sebab saya perlu ruang, biar saya bernafas dan mulakan hidup baharu tanpa dia.Curang tidak boleh diperbaiki dengan sekadar maaf,” kata Fify.

Semoga ada cinta yang lebih baik
Fify mengakui dia seorang lover girl, bermaksud dia suka perasaan menyayangi seseorang. Tapi daripada perhubungan terakhir, dia belajar bahawa tidak wajar mengorbankan diri sendiri hanya untuk memenangkan orang lain.
“Jika sudah jalin hubungan, tak sepatutnya cari perhatian yang tidak perlu daripada orang lain di media sosial. Rasa hormat kepada pasangan bukan hanya pada tindakan tapi tingkah laku juga walaupun online.
“Bila fikir balik, sepanjang tiga tahun ini saya banyak makan hati hanya untuk ikut rentak dia. Saya sokong kerja dia, beri motivasi tapi saya tak dapat benda sama.
“Kalau jumpa diri saya yang lama, saya akan pesan jangan banyak beri peluang. Jangan buang masa dan salahkan diri sendiri. Lebih baik hargai orang yang betul sayang kita macam kawan dan keluarga.
“Apa jadi pasti ada hikmah, saya bersyukur, reda dan mahu teruskan hidup lebih sempurna. Saya masih percaya cinta memang indah, cuma kena dengan orang yang tepat,” katanya menutup temu bual.









