Gagal dalam rumah tangga, Adrea Abdullah mahu fokus kembali berlakon - Utusan Malaysia

Gagal dalam rumah tangga, Adrea Abdullah mahu fokus kembali berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adrea Abdullah mengakui dia terpaksa melupakan seketika dunia lakonan sebelum ini kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap komitmen rumah tangga.

Bagaimanapun, Nik Adrea Nik Abdullah, 49, berkata, selepas fasa perceraiannya, Adrea kini memilih untuk kembali aktif dalam industri hiburan tempatan bagi membina semula keyakinan diri dan kerjaya seninya yang pernah hilang.

“Sebab saya sebagai isteri masa itu, perlu taat pada suami. Jadi, selepas bercerai, saya buat keputusan untuk kembali dalam industri lakonan.

“Apabila mendapat semula watak untuk berlakon filem, saya agak terkejut kerana sudah lama tidak berlakon. Malah, timbul perasaan takut sama ada saya masih mampu lakukannya atau tidak kerana saya rasa seperti kehilangan diri sendiri dalam perkahwinan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Adrea berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan pengumuman menyempurnakan nama filem The Real Mamu: Maruah dan Darjat di Royal Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai keretakan rumah tangganya, Adrea menjelaskan situasi menjadi sukar apabila pasangan hidupnya rupa-rupanya masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam alam perkahwinan.

Adrea bagaimanapun enggan menunding jari menyalahkan mana-mana pihak, namun menganggap isu kematangan memainkan peranan besar memandangkan statusnya ketika itu adalah seorang ibu tunggal.

“Apabila berkahwin dengan saya yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai anak, kematangan serta tanggungjawab itu perlu lebih besar. Namun, mungkin bekas suami belum bersedia dan keadaan itu menyukarkan saya.

“Satu lagi, saya pula tidak dapat berkarya seperti dahulu sewaktu dalam tempoh perkahwinan itu. Perkara tersebut benar-benar membuatkan saya berasa sangat kehilangan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Adrea juga enggan menjadikan faktor usia sebagai halangan, malah dia meletakkan usahanya untuk menghafal skrip yang panjang demi memastikan kemunculan semulanya memberi impak kepada penonton.

“Bagi kemunculan semula kali ini, saya mahu memastikan orang ramai mengingati saya semula dan saya boleh memberikan komitmen sepenuhnya. Saya tidak mahu penonton mempersoalkan kualiti lakonan saya berbanding dahulu. Jadi, saya perlu faham betul-betul setiap skrip agar ia sebati sebelum kamera bermula,” ujarnya.

Terdahulu, Adrea pernah mendirikan rumah tangga dengan Zul Silat pada tahun 2018, namun perkahwinan tersebut dilaporkan berakhir dengan perceraian selepas beberapa tahun bersama. Sebelum perkahwinan itu, Adrea juga merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki daripada perkahwinan pertamanya.

Untuk rekod, Adrea sebelum ini pernah melakonkan pelbagai naskhah drama dan filem tempatan seperti drama popular Blok 404, Juvana, serta filem seram Penunggu Istana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN