Bukan ruangan toksik, Threads tempat saya jadi diri sendiri - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Bukan ruangan toksik, Threads tempat saya jadi diri sendiri – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno tampil memberi pandangannya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa platform Threads merupakan ruang media sosial yang toksik.

Menurut Aisha, persepsi negatif terhadap Threads dapat diubah kerana platform tersebut berpotensi menjadi medium yang baik untuk menyokong bakat-bakat seni dan menyebarkan perkara positif.

“Orang selalu anggap Threads ini toksik. Tetapi bagi saya, ia sebenarnya platform yang sangat baik untuk kita menyemai perasaan ingin tahu terhadap bakat-bakat yang ada.

“Selagi kita gunakan dengan cara yang betul dan positif, saya rasa Threads boleh menjadi tempat yang menyeronokkan serta memberi manfaat kepada ramai orang,” katanya.

Dalam masa sama, Aisha menganggap aplikasi tersebut boleh menjadi medium yang membolehkan artis dengan peminat berinteraksi secara lebih dekat dan santai.

“Sebenarnya, saya muat turun Threads khas untuk projek saya mahu promosikan lagu Jodoh Lebaran. Saya memang muat turun aplikasi tersebut pada era Jodoh Lebaran itu.

“Saya tidak dapat sebarang bimbingan daripada sesiapa tentang Threads ini. Jadi saya teroka sendiri. Threads pertama yang muncul di ruangan saya pun kebanyakannya kandungan yang kelakar-kelakar.

“Jadi saya pun cuba ikut rentak itu dan jadi diri saya sendiri. Kadang-kadang selepas penat menyanyi dan bekerja, kita mahu jadi lebih rapat dengan peminat. Ada peminat tertentu sahaja yang tahu saya ini sebenarnya agak ‘ting tong’,” katanya.

Penyanyi yang baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya, Diari Air Mata itu turut menyifatkan Threads merupakan salah satu platform terbaik untuk mempromosikan sesebuah karya.

“Dalam masa sama, ia juga menjadi cara yang halus untuk mempromosikan lagu dan memperkenalkan diri kita dengan lebih dekat kepada orang ramai.

“Dia seperti kita berkawan dengan orang tetapi pada masa sama kita buat kerja kita sebagai artis,” kongsinya.

Digelar sebagai ‘Ratu Kacip’ dalam kalangan pengguna, Aisha bagaimanapun sedar akan batasnya agar setiap tingkah lakunya tidak menjurus kepada pelbagai persepsi negatif.

“Setakat ini, Threads saya kebanyakannya memang perkara yang menghiburkan dan membina. Ada satu dua komen yang kurang menyenangkan itu biasa. Orang bebas berpendapat. Selagi tidak mengganggu kehidupan kita, saya layan sahaja.

“Gelaran itu sebenarnya bukan sebahagian daripada perancangan pun. Memang di Threads itu saya pegang sendiri akaun saya dan bagi saya itulah bahagian yang paling seronok kerana kita boleh jadi diri sendiri.

“Mungkin ada yang kata saya terlalu ‘kacip’ dan sebagainya, tetapi saya tahu batas saya. Selagi kita boleh menghiburkan orang dengan sisi diri kita yang bukan sebagai seorang penyanyi, kenapa tidak?” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN