LAHIR dari rancangan nyanyian Talk To My Manager musim pertama, penyanyi, Ammar Haikal sebenarnya tidak perlu bekerja keras mempromosikan bakat dan kemampuannya.
Anak kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng cukup menumpang populariti bapa untuk menjadi terkenal.
Ammar atau nama sebenarnya, Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin bagaimanapun tidak mengambil kesempatan ke atas kemayhuran bapanya.
Dia tidak mampu menidakkan dirinya adalah anak penyanyi terkenal. sebaliknya mampu mencuri tumpuan menerusi kebolehan diri.
“Menjadi anak penyanyi terkenal merupakan satu peluang sebenarnya, Ia memudahkan untuk orang kenal siapa saya.
“Ayah saya pun memberi dorongan untuk saya menjadi penyanyi. Jadi, saya tidak menganggap ianya perkara negatif, sebaliknya satu peluang untuk memperkenalkan diri,” katanya.
Jelas Ammar, seeloknya biarlah dia berdiri dengan bakat sendiri, tidak semata-mata menumpang populariti bapanya.
“Kalau boleh, saya mahu dikenali dengan bakat dan kebolehan, tidak mahu bergantung kepada nama ayah saya.
“Memang saya tak dapat lari dari dibayangi Ameng Spring, tapi kalau boleh biarlah orang lebih kenal saya sebagai Ammar Haikal.
“Status anak penyanyi itu saya gunakan sebagai batu loncatan untuk dikenali,” katanya.
Gila Bayang
Baharu melancarkan single bertajuk Gila Bayang, Ammar Bersyukur kerana akhirnya impian untuk tampil dengan lagu sendiri termakbul. Single itu merupakan sentuhan Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus.
“Kami terima banyak lagu, namun saya terpikat dengan lagu ini. Tapi awalnya saya tidak menjangkakan penghasilan lagu ini sebaik ini. Melodi dan seni katanya digarap cukup kemas.
“Saya tidak mengharapkan single ini mampu pergi jauh. Bahkan saya melihat mungkin peluang untuk menyerlah adalah menerusi single kedua.
“Namun apabila mendengarnya, saya sedar Gila Bayang ini mampu melonjakkan nama saya dalam industri seni tanah air,” kongsinya.
Gila Bayang merupakan lagu pop yang menceritakan tentang ‘cinta monyet’ pasangan muda. Disoal sama ada ia mengisahkan kehidupannya, Ammar menafikan..
“Saya masih muda untuk bercinta. Tak terfikir ke arah itu lagi,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Ammar memaklumkan dia terterik dengan genre Pop dan merancang untuk menerbitkan single seterusnya dalam genre yang sama.
“Inilah genre kesukaan saya. Buat masa ini, saya mahu keluarkan single bergenre sama dan kemudian, muncul dengan genre Balad. Saya terbuka untuk teroka genre yang pelbagai,” katanya.
PELAJARAN DIUTAMAKAN
Penuntut semester akhir bidang Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ini amat mementingkan pelajarannya meskipun sibuk menguruskan kerjaya nyanyian.
Malah, kecemerlangan dalam pelajaran merupakan antara syarat penting yang diutarakan bapanya jika dia ingin meneruskan pembabitan dalam industri yang sama.
“Ayah mengingatkan saya agar utamakan pelajaran dalam apa keadaan sekali pun. Sebab itu, jika ada kelas dan sebagainya, saya akan dahulukan dan sanggup menjalani proses rakaman lewat malam.
“Sesibuk mana saya menguruskan kerjaya seni, pelajaran tidak saya lupakan. Itu merupakan janji saya kepada ayah,” kongsinya.










