KUALA LUMPUR: Pelakon. Aniq Suhair dan Bella Dowanna kembali digandingkan menerusi siri komedi romantik terbaharu, Ate Kome, I Love You! (Hey You, It’s Just Love), yang mula ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Viu bermula hari ini.
Siri Viu Original sebanyak 12 episod itu diterbitkan dengan kerjasama jenama minuman POKKA dan akan bersiaran dengan dua episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Diarahkan Helmi Yusof, Ate Kome, I Love You! mengetengahkan tema ‘dendam lama, cinta baharu’ menerusi kisah dua musuh zaman kanak-kanak yang dipertemukan semula apabila dewasa sebelum hubungan mereka berkembang menjadi sebuah kisah cinta yang penuh warna-warni.
Selain Aniq dan Bella sebagai teraju utama, siri berkenaan turut dibintangi Amy Mastura, Ieda Moin serta wajah baharu, Nurel Baharin.
Malah, projek itu turut menyaksikan Bella sekali lagi bekerjasama dengan Helmi selepas kejayaan siri Viu Original Abang Imam Minah Skuter pada 2025.
Lebih menghidupkan jalan cerita, lagu tema rasmi berjudul Syarat Cinta nyanyian ALVN dipilih sebagai runut bunyi utama. Lagu berkenaan diterbitkan menerusi kerjasama MsOrange Solutions Creative dan Rhunut Music.

Ate Kome, I Love You! mengisahkan permusuhan antara Mila dan Mamat yang berpunca daripada konflik lama membabitkan ibu mereka yang suatu ketika dahulu merupakan sahabat baik sebelum hubungan itu musnah akibat perebutan seorang lelaki.
Permusuhan tersebut akhirnya diwarisi anak-anak mereka sehingga dewasa. Namun, kehidupan Mila berubah selepas rumah tangganya musnah apabila suaminya, Daniel, meninggalkannya bersama beban hutang.
Dalam usaha membina kehidupan baharu di Kuala Lumpur, Mila secara tidak disangka bertemu semula dengan Mamat, individu yang selama ini dianggap musuh.
Tanpa pilihan lain, Mila menerima pelawaan Mamat untuk tinggal bersama keluarganya di sebuah flat kecil. Hubungan yang pada awalnya dipenuhi pertelingkahan dan salah faham akhirnya berubah menjadi persahabatan sebelum bibit-bibit cinta mula berputik.
Pada masa sama, Mamat turut membantu Mila mencapai hasratnya untuk pulang ke kampung, berdepan keluarganya dan memohon kemaafan daripada ibunya.
Sementara itu, bagi meraikan tayangan perdana siri itu, Viu bersama POKKA akan menganjurkan sesi bertemu peminat pada 17 Julai depan di Blue Concourse, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Acara berkenaan memberi peluang kepada peminat bertemu barisan pelakon utama selain mengikuti pelbagai aktiviti khas berkaitan siri tersebut. Maklumat lanjut mengenai penyertaan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Viu Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Viu turut mengumumkan kerjasama strategik dengan iQIYI International menerusi pengenalan pakej langganan baharu yang menghimpunkan akses kepada kedua-dua platform di bawah satu langganan.
Pakej yang dijadual diperkenalkan di Malaysia dan beberapa pasaran Asia Tenggara pada separuh kedua tahun ini bakal menawarkan pelbagai kandungan premium Asia, termasuk Viu Originals, drama Korea dan China, produksi Asia Tenggara, filem, anime serta rancangan varieti. Maklumat lanjut mengenai pakej itu akan diumumkan dalam masa terdekat.










