KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin mengakui dirinya kini dalam fasa penuh debaran menghitung hari untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Amira Othman.
Menurut Fattah, fokus Amira kini hanya berehat sepenuhnya di rumah bagi memastikan keadaan kesihatan dirinya dan bayi sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum melahirkan.
“Sekarang ini memang betul-betul menanti hari. Kalau ikutkan Amira dijangka melahirkan pertengahn bulan ini atau pun hujung bulan. Kalau ikutkan Amira akan hadir ke acara ini bersama.
“Tetapi disebabkan kami risau dengan keadaannya yang sedang menghitung hari sekarang, dia hanya berehat di rumah,” katanya ketika ditemui di acara Picklebash 2.0, pada Khamis.
Tambah Fattah, segala persiapan menyambut kelahiran bayi mereka juga telah selesai dilakukan dan kini hanya menunggu masa untuk ke hospital, malah memilih untuk merahsiakan jantina bayinya.
“Alhamdulillah, semuanya sudah disediakan. Misalnya keperluan untuk bayi, barang-barang bayi dan keperluan Amira sendiri. Semuanya sudah disediakan.
“Sekarang hanya menunggu masa sahaja. Ada sebahagiannya pun sudah berada dalam kereta. Untuk kami berdua memang sudah tahu jantina bayi. Tetapi kami akan umumkan selepas bayi lahir nanti di media sosial,” kongsinya.
Berkongsi perasaannya yang bakal bergelar bapa sekali lagi, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu tidak menafikan dirinya berasa gementar meskipun bukan kali pertama melaluinya.
“Saya sebenarnya memang agak gementar juga sebab kita tidak tahu apa yang bakal berlaku kerana setiap orang ada pengalaman yang berbeza.
“Jadi untuk Amira ini, saya pun tidak pasti lagi macam mana kami berdua mahu mengendalikan semua perkara ini. Kadang-kadang bila Amira rasa sesuatu atau ada tanda-tanda tertentu, saya terus risau dan panik. Kemudian kami akan rujuk doktor,” jelasnya.
Sedar isteri tercinta melalui fasa tersebut buat pertama kali, Fattah memaklumkan dia enggan melepaskan momen paling bermakna itu dan mengharungi perjalanan kehamilan tersebut bersama.
“Sebenarnya kami memang sama-sama berkongsi segala maklumat. Kalau ada apa-apa informasi yang kami jumpa di internet atau yang doktor beritahu, kami akan berkongsi sesama sendiri.
“Setiap kali pemeriksaan kehamilan pun kami pergi bersama. Jadi kami sama-sama melalui pengalaman ini. Bagi saya, momen kehamilan bukan hanya untuk ibu yang mengandung, tetapi juga untuk seorang ayah.
“Jadi kami sama-sama menunggu hari dan melalui semua pengalaman ini bersama. Kami cuma berdoa semoga semuanya berjalan lancar, bayi sihat dan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan kerjaya selepas menimang cahaya mata, pelakon itu menjelaskan dia akan menghadkan komitmen kerjanya demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Saya pastikan kerja yang saya ambil berada dekat dengan Kuala Lumpur. Sekarang ini saya memang tidak ambil mana-mana kerja yang memerlukan saya menjalani penggambaran jauh dari Kuala Lumpur dan Selangor.
“Bulan ini memang saya tidak ambil apa-apa kerana kami sedang bersiap sedia untuk ke hospital pada bila-bila masa,” katanya.
Untuk info, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025.
Fattah sebelum itu pernah berkahwin dengan pelakon, Fazura pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober 2024. Hasil perkongsian hidup mereka dikurnian seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.










