The Drama: Apa yang ada dalam kepala pembunuh? - Utusan Malaysia

The Drama: Apa yang ada dalam kepala pembunuh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA anda belum menonton The Drama, saya cadangkan anda berhenti membaca ulasan minggu ini. Namun jika anda sudah menonton, atau tidak kisah dengan spoiler yang akan saya sentuh dalam ulasan ini, silakan teruskan pembacaan.

Charlie (Robert Pattinson) dan segala kecetekan pengetahuannya tentang orang yang dicinta sekurang-kurangnya benar untuk satu perkara iaitu Emma (Zendaya) seorang yang empati, walau kita tahu Charlie berbelah hati, memadam satu demi satu kebaikan Emma yang pernah ditulis dalam skrip ucapan hari perkahwinan mereka nanti.

Kristoffer Borgli yang sebelum ini menghasilkan Dream Scenario (2023) berjaya menipu saya menyangka The Drama adalah sebuah kisah cinta romantis dan pengarah itu bereksperimen mahu bertukar genre.

Namun memasuki minit ke-16, alur filem ini sudah berbeza. Saya terpedaya dengan pertemuan janggal mereka di kedai kopi dan betapa anehnya Charlie mengurat seorang perempuan. Tapi bila fikir balik, adegan itu sangat penting sebagai pembuka huru-hara dan kerumitan sepanjang The Drama akan berjalan.

Hanya dengan satu pengakuan di suatu malam dan segelas wine, cinta yang Charlie ada untuk Emma musnah begitu sahaja selepas wanita itu mendedahkan dia pernah merancang untuk melakukan tembakan rambang ketika sekolah rendah.

Sedangkan di masa sama, rakan mereka Rachel dan Mike sama teruknya mengurung budak dalam almari dan jadikan teman wanita mereka sebagai perisai elak dirinya digigit anjing. Tapi bagi mereka apa ada dalam kepala Emma lebih teruk, berbanding apa yang mereka telah lakukan.

Saya tidak kuasa membahaskan kasta moral dan hierarki dosa yang ada dalam masyarakat, tapi The Drama membuatkan saya terpaku memahami apa yang berlegar dalam kepada seorang penembak ‘mass shooter’ dan itu perkara yang memancing saya menonton keseluruhan naskhah ini.

Banyak orang menyangka tembakan rambang berlaku kerana seseorang itu alami sakit mental. Mungkin ‘ya’ ketika dia melakukan jenayah itu. Namun itu bukan satu-satunya punca, dalam isu sebesar tembakan rambang di sekolah, kita perlu lebih rajin menggali sebab-akibat berbanding berpuas hati dengan sebuah konklusi yang malas.

Emma kecil sebenarnya memberi kita jawapan itu bahawa tembakan rambang bukanlah sebuah tindakan impulsif sebaliknya dirancang.

Emma kecil berlatih menembak, hingga telinganya berdarah dan pekak. Dia bersolek, berdandan, membuat gaya paling cool pegang senapang dan merakam video terakhir sebelum mahu lakukan tembakan rambang. Semuanya gara-gara dia kemu­rungan dibuli dan dipulaukan rakan-rakan sekelas.

Profesor kriminologi Universiti Metro State, James Densley mengesahkan perkara ini dalam kajiannya yang mengatakan shooter sebenarnya mengalami rasa keterasingan yang dalam, dia berdendam dan menjadikan luka sebahagian daripada identitinya.

Bagi sesetengah orang, jika dia tersakiti, dia masih meneruskan hari seperti biasa. Tapi bagi Emma kecil, dia dibuli, dipulaukan, amarahnya menjadi dendam membuatkan dia merasa ada orang perlu menanggung kesakitan dalam dirinya. Tapi hasrat Emma terpadam selepas salah seorang rakan di sekolah maut diserang penembak rambang di pusat beli-belah.

Emma empati, merasai kesedihan, kemarahan dan kepiluan yang dialami rakan-rakan sebayanya di sekolah. Dia menangis menyebabkan dia dilantik menjadi orang yang mengetuai kempen anti senjata, sangat ironi takdir bekerja.

Tapi bila difikirkan balik, rasa diterima oleh rakan-rakan membuatkan dia membuang senapang, dendamnya menghilang. The Drama memberikan kita solusinya.

Cuma saya tidak boleh menafikan, ada yang tidak seimbang dalam The Drama antara karakter Emma dan Charlie. Kita tahu luka yang terbenam dalam Emma. Namun kita tidak mengenal siapa Charlie sehingga dia boleh sangat mudah berubah, sangat takut akan reputasi dirinya jika mahu mencintai seorang Emma yang pernah merancang tembakan rambang.

Mungkin Borgli kurang memberi kita latar seorang Charlie membuatkan ada yang kurang di layar.

Oleh itu, saya berpandangan kisah cinta mereka memang wajar tidak menjadi walau Emma mahu mengulanginya berkali-kali. Emma tidak boleh mencintai dan dicintai oleh seorang lelaki yang tidak boleh membezakan mana satu cinta sejati dan mana satu perasaan euforia yang datang sesekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN