KATHMANDU: Seorang pendaki Nepal yang digelar ‘Everest Man’, Kami Rita Sherpa berjaya menawan Gunung Everest buat kali ke-32 pada Ahad, manakala Lhakpa Sherpa memecahkan rekod wanitanya sendiri dengan pendakian ke puncak buat kali ke-11.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah pendakian gunung Nepal,” kata jurucakap Jabatan Pelancongan Nepal, Himal Gautam kepada AFP.
Kami Rita Sherpa, 56, pertama kali menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest pada 1994 ketika bekerja untuk ekspedisi komersial.
Sejak itu, beliau mendaki Everest hampir setiap tahun sambil membimbing pelanggan-pelanggannya.
Lhakpa Sherpa, 52, yang dikenali sebagai ‘Ratu Gunung’, pertama kali menawan Everest pada tahun 2000 dan menjadi wanita Nepal pertama yang berjaya mendaki dan turun dari puncak tertinggi dunia itu.
“Rekod mereka memberi lebih keterujaan kepada pendaki lain,” tambah Gautam.
“Pemecahan rekod melalui persaingan sihat di Everest akan membantu menjadikan aktiviti pendakian lebih selamat, lebih bermaruah dan lebih terurus.” ujarnya lagi.
Kami Rita pernah mendaki ke puncak gunung itu setinggi 8,849 meter pada 2024..
Ledakan aktiviti pendakian menjadikan sukan itu satu perniagaan lumayan sejak Edmund Hillary dan Tenzing Norgay Sherpa melakukan pendakian pertama pada 1953.
Nepal telah mengeluarkan rekod 492 permit Everest untuk musim ini, dengan sebuah ‘kota khemah’ didirikan di kaki Everest untuk pendaki dan kakitangan sokongan. – AFP










