Ada satu nama peserta program Talk To My Manager (TTMM) yang mula jadi sebutan orang industri. Bukan sebab bakat semata-mata, tapi lebih kepada ‘drama belakang tabir’ yang katanya makin memeningkan ramai pihak. Siapa lagi kalau bukan penyanyi muda, Hussain.
Cik Bunga dengar, bukan Hussain yang bermasalah pun sebenarnya. Budaknya dikatakan okey saja, merendah diri dan senang dibawa berbincang. Tapi, yang buat ramai geram ialah perangai orang sekelilingnya. Lebih tepat lagi, pengurusnya sendiri!
Menurut sumber Cik Bunga, hendak dapatkan Hussain untuk sesi temu bual pun bukan main susah. Kononnya segala benda kena tapis, kena ikut standard tertentu, sampai ada pihak media dan orang produksi mula malas untuk mendekati.
Yang paling buat orang industri tergelak kecil apabila si pengurus ini dikatakan pernah dengan penuh yakin mengeluarkan ayat:“We don’t do photoshoot.”
Cik Bunga pula yang terpinga-pinga dengar. Sejak bila bergelar artis tidak perlu buat sesi fotografi? Bukankah itu antara asam garam dunia hiburan? Daripada cover majalah, bahan promosi, kempen jenama sampailah hendak bina identiti artis, semuanya perlukan visual dan pendedahan.
Kalau terlalu memilih sampai perkara asas industri pun dianggap tidak perlu, memang susahlah orang hendak bekerjasama.
Ada juga yang mula bersuara, takut-takut pengurus tersebut lebih feeling jadi selebriti daripada artis yang diuruskan sendiri. Orang hendak berurusan dengan Hussain, tapi akhirnya terpaksa berdepan dengan ego orang lain pula. Aduhai…
Cik Bunga pun hairan juga. Kadang-kadang artis baru ini perlukan pasukan yang faham selok-belok industri, bukan yang sibuk mencipta tembok tidak tentu hala. Dunia hiburan ini bukan cukup dengan bakat saja.
Hubungan baik dengan media, produksi dan orang industri pun penting juga kalau hendak panjang umur dalam bidang seni.
Dan yang kasihannya, ada mulut-mulut industri mula berkata, mungkin Hussain sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di belakang namanya. Biasalah, bila terlalu percaya pada orang sekeliling, kadang-kadang kita tidak sedar imej sendiri perlahan-lahan tercalar.
Itu belum masuk cerita lain yang sampai ke telinga Cik Bunga. Yang itu biarlah Cik Bunga simpan dulu. Takut ada yang panas satu badan nanti.
Apa-apa pun, Cik Bunga cuma harap kalau betul sayangkan periuk nasi artis sendiri, janganlah over sangat sampai orang industri naik menyampah.










