Syamel bangkit dari kritikan - Utusan Malaysia

Syamel bangkit dari kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Syamel membuka lembaran baharu dalam karier seninya dengan lebih berani dan jujur, bukan sahaja menerusi karya muzik terbaharu, tetapi juga pendedahan sisi peribadi yang selama ini jarang dikongsikan.

Muncul dengan sebuah dokumentari, Syameel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly dilihat lebih terbuka berkongsi segala sepak terajang yang pernah dilalui sebagai anak seni.

Menurut Syamel, kritikan mengenai fizikalnya suatu ketika dahulu menjadi antara pengalaman terpahit buat dirinya sekali gus memberikan kesan mendalam terhadapnya.

“Dulu memang ada orang memperlekehkan fizikal saya. Masa itu berat saya sekitar 100 kilogram. Ada juga yang persendakan warna kulit dan rupa saya. Bila saya imbas kembali, saya sendiri tertanya macam mana saya boleh lalui fasa itu.

“Saya ingat lagi, salah satu azam saya ketika itu juga mahu kurus. Jika ditanya mengapa mahu kurus, salah satu sebabnya kerana saya mahu memiliki isteri yang cantik,” katanya.

Bagaimanapun, Syamel menegaskan dia tidak pernah membiarkan kata-kata negatif itu mematahkan semangatnya untuk terus berkarya, sebaliknya melangkah terus ke hadapan.

“Tipulah jika saya kata saya okey sahaja bila berdepan dengan kritikan itu. Memang ada momen saya rasa begitu kecil di mata mereka. Tetapi, saya tidak pernah terfikir sampai mahu berhenti.

“Sebab saya tahu kalau saya berhenti, saya akan kehilangan separuh semangat saya. Saya berperang dengan diri sendiri dahulu. Mereka juga tidak faham setiap manusia ada cabaran masing-masing.

“Kadang-kadang saya bangga dengan diri saya kerana sudah berjaya sampai ke tahap ini dan apa yang saya lakukan hanya teruskan kehidupan sahaja,” jelasnya.

‘Pertama’ simbolik permulaan baharu

Mengulas mengenai keberaniannya tampil lebih terbuka menerusi dokumentari itu, Syamel mengakui perkongsian tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun penting untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Saya memang daripada dahulu paling tidak gemar berkongsi kisah tentang diri saya kepada orang lain. Saya rasa janggal bila melakukannya. Tetapi saya percaya buatkan peminat rasa dekat, saya perlu lebih terbuka.

“Atas dorongan isteri, Ernie Zakri dan sokongan dari pasukan saya sendiri, saya cuba beranikan diri dan berkongsi kisah diri saya walaupun pada awalnya saya tidak yakin boleh lakukannya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Syamel memaklumkan dokumentari tersebut khas dicipta sempena pelancaran lagu terbaru, Pertama yang juga merupakan judul album mininya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Tambah Syamel, kemunculan lagu terbaharunya itu juga dijadikan sebagai simbolik kepada permulaan baharu dalam karier seninya.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya keluarkan lagu rancak semula. Kali terakhir saya hasilkan lagu rancak pun lagu yang berjudul Kau Pun Sama.

“Itu juga merupakan satu permulaan baharu untuk saya teruskan berkarya selepas menempuhi pelbagai fasa naik turun dalam industri ini. Kerana itu juga, benda pertama yang saya buat adalah saya ‘reset’ semuanya termasuk media sosial.

“Dan keputusan itu juga disokong oleh orang sekeliling saya kerana mereka juga memiliki objektif yang sama. Jadi, inilah permulaan kepada diri saya yang lebih segar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN