PETALING JAYA: Penyanyi, Shiha Zikir meluahkan rasa terkilan selepas mengetahui bekas pekerja yang sedang dijejakinya menjadi duri dalam daging ketika berkhidmat di syarikatnya.
Shiha berkata, dia sangat menghargai jasa beberapa pihak yang tampil membuat penjelasan serta mendedahkan pengkhianatan bekas pekerjanya yang selama ini sudah dianggap seperti keluarga.
“Terima kasih banyak-banyak kepada pihak yang pernah bekerjasama dengan saya atau produksi Shiha Zikir Empire dan telah menunjukkan bukti tentang apa yang bekas staf saya pernah lakukan.
“Patutlah ada yang sudah tidak mengikuti saya. Rupanya ada perkara yang terjadi di luar pengetahuan saya. Saya bukan marah, tetapi lebih kepada terkilan.
“Saya sudah melayan dia seperti adik sendiri dan cuba membantu dalam pelbagai perkara dengan sehabis baik, tetapi dibalas begini. Dalam fasa kami tiada apa-apa masalah, rupanya dia memfitnah saya di belakang,” katanya di Threads.
Dalam perkongsian lain, penyanyi lagu Jagakan Dia itu terkejut apabila dirinya didakwa kononnya menghina serta merendah-rendahkan pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan oleh individu terbabit.
“Bayangkan, dia boleh memberitahu seseorang yang bekerjasama dengan saya, “Saya cakap pekerja awak ini pencacai!” Astaghfirullah, panjang saya mengucap apabila membacanya. Saya tidak pernah terlintas untuk merendah-rendahkan sesiapa.
“Bukan fitnah itu sahaja, dia siap berkata, “Saya cakap makanan awak tidak sedap! Dia sampai dah baran dekat set.” Saya tidak pernah mengamuk hanya disebabkan makanan.
“Orang yang menyampaikan berita ini memberitahu bahawa dia membenci saya disebabkan mulut individu tersebut. Dan dia tergerak hati untuk menjelaskan semuanya,” jelasnya.
Shiha bagaimanapun menggesa pihak yang pernah berkomunikasi dengan individu berkenaan untuk menghubunginya demi mengelakkan sebarang salah faham terus berlarutan.
“Saya sangat faham dan kalau saya berada di tempat dia pun, saya akan kecewa dengan berita yang disampaikan.
“Jadi saya mohon kepada semua yang pernah berkomunikasi dengan si polan, jika ada perkara yang tidak manis, sila maklumkan kepada saya supaya saya dapat menjelaskan semula.
“Ya Allah, pertama kali saya jumpa staf yang macam ini. Depan lain, belakang lain. Ini kira sudah memburukkan nama saya ke?,” ujarnya.
Terdahulu, Shiha meminta jasa baik orang ramai untuk menjejaki bekas pekerjanya yang tidak dapat dikesan selepas didakwa menyalahgunakan kenderaan syarikat atas tujuan peribadi sehingga menyebabkan kemalangan.










