“Kalau pengarah suruh saya botakkan kepala demi watak, saya akan buat.”
Itu pengakuan pelakon muda, Fazziq Muqris, 26, yang mengakui sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan karakter yang dibawakan benar-benar hidup dan meyakinkan di mata penonton.
Bagi Fazziq, dunia lakonan bukan sekadar bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya menuntut pengorbanan besar termasuk perubahan fizikal, emosi dan disiplin yang ketat.
“Apabila ditanya sejauh mana saya sanggup berkorban demi watak, jawapan saya ialah saya sanggup melakukan apa sahaja selagi ia berkaitan dengan tuntutan karakter. Jika pengarah meminta saya membotakkan kepala demi watak, saya akan melakukannya.
“Saya juga pernah menurunkan berat badan secara ekstrim demi watak tertentu. Daripada 75 kilogram, saya berdiet secara ketat selama tiga bulan. Saya membawa bekal sendiri tanpa garam dan gula sedangkan orang lain menikmati makanan yang sedap di depan saya,” katanya.
Menurut Fazziq, ramai sebenarnya tidak mengetahui pengorbanan sebenar seorang pelakon di belakang tabir kerana kerjaya itu sering dipandang mudah oleh sesetengah pihak.
“Ramai tidak tahu pengorbanan sebenar seorang pelakon di belakang tabir. Ada yang menganggap lakonan itu mudah, sedangkan untuk menjayakan sesuatu watak memerlukan disiplin, emosi dan pengorbanan yang besar.
“Saya bersetuju dengan kenyataan sahabat saya, Meerqeen bahawa pelakon juga seperti atlet. Jika watak memerlukan kita menjadi gemuk, lakukanlah. Jika perlu kurus, lakukan juga. Bagi saya, lakonan bukan sekadar bakat. Penampilan, disiplin dan usaha juga sangat penting. Penonton tidak mahu melihat karakter yang sama sahaja dalam setiap karya.
“Kadangkala orang memandang mudah terhadap kerja pelakon kerana mereka tidak nampak penderitaan dan usaha di sebalik tabir,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazziq turut berkongsi keterujaannya membawakan watak Zayn Mikhail dalam filem Kata Hati yang disifatkan sebagai antara karakter paling mencabar pernah dilakonkannya.
Menurutnya, dia pada awalnya agak ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut memandangkan sudah terlalu kerap membawa watak antagonis sebelum ini.
“Sejujurnya, Zayn Mikhail ialah salah satu watak yang pada awalnya tidak yakin dapat saya bawakan. Setelah membaca sinopsis, saya rasa macam sudah banyak kali membawa watak antagonis sebelum ini.
“Namun begitu, watak antagonis kali ini agak menarik. Saya juga ingin tahu siapakah heroinnya. Ketika itu saya masih belum tahu, jadi saya tangguhkan dahulu keputusan untuk menerima projek tersebut,” katanya.
Tidak hanya memberi fokus terhadap emosi watak, Fazziq juga menitikberatkan aspek penampilan supaya karakter itu lebih mudah diingati penonton.
“Sebab itu untuk watak Zayn Mikahil dalam filem Kata Hati, penampilan watak itu juga memainkan peranan besar seperti rambut, misai dan gaya pakaiannya. Ramai menyangka misai itu palsu, tetapi sebenarnya saya memang menyimpannya khas untuk watak tersebut. Saya juga sengaja mengubah gaya rambut supaya watak itu lebih menonjol dan mudah diingati penonton.
“Pakaian Zayn pula menggambarkan kehidupan mewah seorang anak orang kaya. Dia seorang yang sangat dimanjakan,” ujarnya.
Malah Fazziq mengakui dia sendiri pernah berasa ‘geli’ ketika mula membaca skrip kerana watak romantik Zayn Mikhail terlalu manis dan berlebihan berbanding personalitinya yang sebenar.
“Ketika sesi pembacaan skrip pertama, saya sendiri tergelak membaca dialog-dialog Zayn Mikhail. Saya rasa sangat janggal kerana watak itu terlalu romantik dan manis sehingga membuatkan saya sendiri rasa meluat.
“Dialog dan perlakuannya benar-benar membuatkan saya rasa geli hati. Penonton memang perlu menonton sendiri untuk memahami bagaimana watak itu dibawakan,” katanya sambil ketawa.
Dalam masa sama, Fazziq berharap penonton mampu membezakan antara dirinya dan karakter antagonis yang dibawakan di layar.
“Pada akhirnya, saya berharap penonton membenci watak Zayn Mikhail, bukannya membenci saya secara peribadi. Saya mahu penonton percaya bahawa saya benar-benar berjaya membawa watak tersebut.
“Sebagai contoh, dahulu ramai penonton membenci watak Johan As’ari dalam drama Juvana, tetapi apabila mengenalinya secara peribadi, dia sebenarnya seorang yang sangat baik. Saya mahukan reaksi seperti itu daripada penonton,” katanya.










