PETALING JAYA: Keputusan kerajaan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dilakukan untuk meraih undi.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, terdapat cubaan untuk mengelirukan keadaan dengan mendakwa kelonggaran itu turut mewajibkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan pengumuman mengenai peluang kemasukan lepasan tahfiz ke program tertentu di IPTA.
“Kononnya walaupun kelonggaran diberikan, dalam masa yang sama dinyatakan kewajipan ada SPM. Sekali baca kita rasa okey lah, selamat. Kot manapun kena ada SPM. Jadi tak kisahlah dia nak ada sijil UEC pun.
“Namun, terdapat perkara yang tidak disedari iaitu sistem merit yang digunakan bagi kemasukan ke IPTA melalui SPM,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, sistem merit tersebut merangkumi 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum manakala markah akademik 90 peratus itu pula dipecahkan kepada beberapa komponen.
“40 peratus subjek teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik), 30 peratus subjek pakej (pakej aliran STEM A/B/C atau Sastera) dan 10 peratus subjek terbaik,” katanya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan jika pelajar sekolah Cina lepasan SPM yang mengambil UEC dibenarkan memohon IPTA melalui sistem merit tersebut.
“Katalah Si A adalah pelajar sekolah Cina yang ambil UEC. Kemudian dia ambil SPM hanya subjek Bahasa Melayu dan Sejarah (subjek minimum untuk dapat Sijil SPM).
“Untuk dia masuk IPTA menerusi sistem merit, adakah markah subjek teras, Bahasa Inggeris, Matematik, subjek pakej dan subjek terbaik lain akan diambil daripada sijil UEC? Kalau ya, ini sudah menjadi pengiktirafan sijil UEC secara halus,” katanya.
Katanya, perkara itu tidak adil kepada pelajar yang mengambil SPM kerana perlu bersaing dalam sistem merit yang sama dengan pelajar berasaskan UEC.
“Ini perlu diberi penjelasan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) supaya rakyat Malaysia jelas. Adakah kerajaan mahu iktiraf UEC secara halus?,” katanya. – UTUSAN










