MPO abadikan legasi Sharifah Aini dalam konsert tribute istimewa - Utusan Malaysia

MPO abadikan legasi Sharifah Aini dalam konsert tribute istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menghidupkan kembali nostalgia kegemilangan seni Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini menerusi konsert istimewa A Tribute to Sharifah Aini di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), pada 6 Jun depan.

Konsert yang dijadual berlangsung pukul 8 malam itu merupakan penghormatan khas buat legenda seni suara tanah air yang sehingga kini terus dikenang sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh dalam sejarah industri muzik tempatan.

Meskipun Sharifah Aini telah meninggal dunia pada 2014, aura dan kehebatan vokalnya kekal terpahat dalam ingatan peminat. Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, beliau berjaya mencipta pelbagai pencapaian membanggakan termasuk jualan album mencecah status Emas dan Platinum, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara artis rakaman paling laris sepanjang zaman.

Lebih membanggakan, Allahyarham telah merakamkan kira-kira 700 lagu serta menghasilkan lebih 100 album merangkumi album solo, kompilasi, runut bunyi filem, kolaborasi dan album berbahasa Inggeris.

Konsert berprestij itu akan dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose yang menyusun perjalanan persembahan dengan menampilkan sisi seni Sharifah Aini secara menyeluruh meliputi genre pop, balada, tradisional, lagu filem dan Inggeris.

Antara penyanyi yang bakal menjayakan konsert tersebut ialah penyanyi veteran, Dato’ Khadijah Ibrahim dan Salamiah Hassan selain Asmidar serta Shiha Zikir.

Khadijah dijangka menghiburkan penonton menerusi lagu Hapuslah Airmatamu, Kudaku Lari dan medley Kau Tinggi Di Awan Biru/Terbang Helang/Rindu.

Salamiah Hassan pula akan membawa penonton mengimbau kenangan menerusi lagu Kenang Daku Dalam Doamu, Tiada Maaf Bagimu selain medley Inggeris Forever And Ever/I Have A Dream/Will You Still Love Me Tomorrow.

Asmidar pula bakal mempersembahkan lagu hit awal Sharifah Aini, Seri Dewi Malam selain medley tradisional Di Pinggir Kayangan/Sayang Musalmah/Gunung Banang dan medley pop Oh Di Mana/Surat Dari Seberang/Yang Ditunggu Tak Tiba.

Dalam pada itu, Shiha Zikir akan memberi penghormatan kepada idolanya menerusi lagu Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung yang pernah dipuji kerana tahap kesukaran vokalnya.

Menambahkan lagi keistimewaan konsert berkenaan, kesemua karya akan diberi nafas baharu menerusi gubahan khas oleh beberapa komposer dan penggubah tersohor seperti Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri, Luqman Aziz dan Ahmad Muriz sendiri.

Konsert itu dilihat sebagai antara usaha MPO dalam mengangkat warisan muzik tempatan ke tahap lebih tinggi selain memastikan karya-karya legenda negara terus malar segar dalam kalangan generasi baharu.

Tiket konsert dijual pada harga RM249 hingga RM399 manakala tempat duduk suite ditawarkan antara RM449 hingga RM499 seorang. Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi MPO atau menghubungi box office DFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN